DUNIA

Macron fail saman fitnah terhadap pempengaruh media sosial AS Candace Owens

Bernama 24/07/2025 | 13:13 MYT
Apabila pasangan Macron meminta Owens (kanan) memadamkan kandungan tersebut, beliau "mengejek mereka dan menjadikan mereka bahan tambahan kepada peminat fanatiknya." - Reuters / AP
PARIS: Presiden Perancis Emmanuel Macron dan isterinya Brigitte telah memfailkan saman fitnah terhadap pempengaruh media sosial berhaluan kanan dari Amerika Syarikat (AS), Candace Owens, kerana mendakwa Wanita Pertama Perancis itu dilahirkan sebagai lelaki, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Owens membuat dakwaan itu - antara beberapa tuduhan terhadap pasangan Presiden Perancis itu - di platform X dan dalam podcastnya pada Mac 2024.

Saman berkenaan, yang disahkan Owens menerusi satu video di YouTube, menuduh beliau mengeluarkan "kenyataan palsu ini untuk mempromosikan platform peribadinya, meraih publisiti dan menjana pendapatan."

Apabila pasangan Macron meminta Owens memadamkan kandungan tersebut, beliau "mengejek mereka dan menjadikan mereka bahan tambahan kepada peminat fanatiknya."

Menurut dokumen mahkamah, Owens menerbitkan siri podcast lapan episod bertajuk Becoming Brigitte, yang memuatkan "satu siri pembohongan yang terbukti palsu dan memusnahkan reputasi pasangan Macron."

Tuduhan itu termasuk dakwaan bahawa Brigitte dan Emmanuel Macron mempunyai pertalian darah, dan bahawa Macron menjadi presiden dengan bantuan program Agensi Perisikan Pusat (CIA).

Saman tersebut menyatakan bahawa pasangan Macron menjadi mangsa "kempen penghinaan global yang berterusan dan tidak berasas."

Pengaruh media sosial berusia 36 tahun itu memiliki pengaruh luas dalam kalangan berhaluan kanan, dengan 4.4 juta pelanggan di YouTube dan hampir 7 juta pengikut di platform X.

Owens sebelum ini sering mencetuskan kontroversi menerusi pendiriannya. Pada 2024, kerajaan Australia menolak kemasukannya ke negara itu atas alasan beliau menyebarkan dakwaan palsu mengenai Holocaust dan umat Islam.

-- BERNAMA


#Emmanuel Macron #saman fitnah #candace owens #pempengaruh #tuduhan