DUNIA

Macron percepat usaha luluskan RUU larang media sosial bagi individu bawah 15 tahun

Bernama 25/01/2026 | 04:20 MYT
Macron mengingatkan bahawa sejak 2018, beliau telah menggesa peraturan lebih ketat terhadap platform digital, merujuk kepada inisiatif yang dilancarkan di UNESCO dan Forum Keamanan Paris. REUTERS
ISTANBUL: Presiden Perancis Emmanuel Macron meminta kerajaan mengaktifkan prosedur perundangan bagi mempercepat kelulusan rang undang-undang (RUU) yang akan melarang akses kepada platform media sosial bagi kanak-kanak di bawah usia 15 tahun, dengan sasaran undang-undang itu berkuat kuasa "seawal musim luruh depan", lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik media tempatan.

Menurut satu rakaman video yang diperoleh penyiar BFMTV pada Sabtu, Macron merakamkan penghargaan kepada ahli Parlimen parti pemerintah, Laure Miller yang juga pelapor siasatan Parlimen mengenai kesan TikTok, atas usahanya dalam draf perundangan itu yang kini telah disokong oleh kerajaan.

"Teks ini membolehkan kita merealisasikan cita-cita yang telah kita pegang selama beberapa tahun, yang sangat penting bagi saya dan menjadi komitmen kuat yang saya nyatakan kepada rakyat Perancis," kata Macron dalam video itu.

Macron mengingatkan bahawa sejak 2018, beliau telah menggesa peraturan lebih ketat terhadap platform digital, merujuk kepada inisiatif yang dilancarkan di UNESCO dan Forum Keamanan Paris, selain undang-undang terdahulu Perancis yang bertujuan melindungi kanak-kanak dan remaja daripada masa skrin berlebihan.

Beliau menyifatkan cadangan terkini itu sebagai "teks yang jauh lebih ringkas" yang memenuhi janji beliau untuk melarang penggunaan rangkaian sosial oleh remaja bawah 15 tahun, sambil merujuk kepada sekatan penggunaan telefon bimbit di sekolah.

RUU itu dijadual dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Perhimpunan Kebangsaan pada Isnin, dalam sesi Parlimen yang dikhaskan untuk parti Renaissance pimpinan Macron.

Cadangan itu menyusuli langkah serupa di luar negara.

Bulan lalu, Australia menjadi negara pertama yang secara rasmi melarang media sosial untuk remaja bawah 16 tahun.

-- BERNAMA

#Emmanuel Macron #Rang Undang-Undang #media sosial #pengguna bawah umur #Kanak-kanak