DUNIA

Macron seru Britain sokong gencatan senjata tanpa syarat di Gaza, iktiraf negara Palestin

Astro Awani 09/07/2025 | 05:50 MYT
Macron dalam ucapannya di Istana Westminster menyeru agar UK menyokong gencatan senjata tanpa syarat di Gaza dan bekerjasama dalam mengiktiraf negara Palestin sebagai langkah ke arah keamanan serantau. -Reuters
LONDON: Presiden Perancis Emmanuel Macron menyeru United Kingdom (UK) agar menyokong gencatan senjata tanpa syarat di Gaza dan bekerjasama dengan Perancis dalam mengiktiraf negara Palestin sebagai langkah penting ke arah keamanan serantau.


Ringkasan AI
  • Presiden Perancis Emmanuel Macron menyeru UK menyokong gencatan senjata tanpa syarat di Gaza dan bekerjasama dalam mengiktiraf negara Palestin sebagai langkah ke arah keamanan serantau.
  • Macron menegaskan penyelesaian dua negara adalah satu-satunya jalan untuk kestabilan di Asia Barat, sambil menyatakan perang di Gaza mengancam keseluruhan rantau.
  • Dalam lawatan negara ke UK, Macron turut menyeru kerjasama lebih erat dalam isu pertahanan, migrasi dan perdagangan, serta mengurangkan kebergantungan terhadap AS dan China.


Dalam ucapan bersejarah kepada kedua-dua dewan Parlimen Britain sempena lawatan negara tiga hari beliau, Macron menegaskan bahawa penyelesaian dua negara adalah satu-satunya jalan untuk membina kestabilan dan keamanan di Asia Barat, lapor Al Jazeera.

“Dengan Gaza musnah dan Tebing Barat diserang setiap hari, prospek penubuhan negara Palestin kini berada pada tahap paling genting.

“Itulah sebabnya penyelesaian dua negara dan pengiktirafan terhadap Negara Palestin adalah satu-satunya cara untuk membina keamanan dan kestabilan untuk semua di rantau ini,” kata Macron.

Beliau turut menekankan sokongan terhadap gencatan senjata tanpa syarat adalah bukti bahawa Eropah tidak mengamalkan piawaian berganda dalam isu kemanusiaan dan wilayah.

Macron menyifatkan perang berpanjangan di Gaza sebagai ancaman besar kepada keseluruhan rantau.

Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Kesihatan Palestin melaporkan angka korban akibat serangan Israel ke atas Gaza sejak 7 Oktober 2023 meningkat kepada lebih 57,000 orang, dengan sekurang-kurangnya 136,000 lagi cedera.

Keadaan kemanusiaan di Gaza kini berada pada tahap kritikal, dengan kekurangan makanan, air dan ubat-ubatan yang teruk.

Macron juga menyeru UK agar memperkukuh kerjasama dalam isu pertahanan, migrasi dan perdagangan, sambil menyatakan bahawa Perancis dan Britain perlu mengurangkan kebergantungan berlebihan terhadap Amerika Syarikat dan China.

Lawatan negara ini merupakan yang pertama oleh pemimpin Kesatuan Eropah ke UK sejak Brexit, dan dilihat sebagai usaha untuk merapatkan semula hubungan dua hala yang tegang sebelum ini.

Macron dijadualkan bertemu Perdana Menteri Keir Starmer untuk membincangkan isu migrasi, pelaburan dan sokongan terhadap Ukraine.











#Emmanuel Macron #Gaza #gencatan senjata #iktiraf Negara Palestin #Britain