DUNIA
Macron tolak cadangan Trump mahu Putin jadi orang tengah konflik Iran-Israel
Presiden Macron menjawab soalan wartawan pada sidang media di Nuuk, Greenland, pada Ahad. - Gambar AP
PARIS/COPENHAGEN: Emmanuel Macron menolak cadangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang mencadangkan Presiden Rusia, Vladimir Putin sebagai perantara dalam konflik antara Israel dan Iran.
Ini kerana, Presiden Perancis itu menyifatkan Rusia tidak mempunyai kredibiliti untuk memainkan peranan tersebut.
Bercakap semasa lawatannya ke Greenland pada Ahad (15 Jun), Macron berkata, Rusia, yang kini terlibat dalam konflik ketenteraan besar dengan Ukraine telah lama tidak menghormati Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), justeru, tidak layak menjadi perantara krisis di Asia Barat.
“Saya tidak percaya bahawa Rusia, yang kini terlibat dalam konflik berintensiti tinggi dan telah beberapa tahun mengabaikan Piagam PBB, boleh menjadi orang tengah,” kata Macron dalam sidang media bersama
Perdana Menteri Denmark, Mette Frederiksen dan Perdana Menteri Greenland, Jens-Frederik Nielsen.
Dalam masa sama, Macron turut menegaskan, Perancis tidak terlibat dalam sebarang serangan yang dilancarkan Israel ke atas Iran.
Dalam temu bual bersama ABC News pada hari sama, Trump menyatakan keterbukaannya untuk membenarkan Putin – yang juga mengetuai pencerobohan ke atas Ukraine dan enggan bekerjasama dalam rundingan damai – menjadi pengantara antara Israel dan Iran.
Lawatan Macron ke Greenland itu dilihat sebagai isyarat sokongan kepada pulau Artik yang memiliki kuasa pemerintahan sendiri dan hak untuk mengisytiharkan kemerdekaan.
Pulau itu sebelum ini menjadi sasaran Trump yang pernah menyatakan hasrat untuk “mengambil alih” wilayah tersebut.
Dalam sidang media berkenaan, Macron memberi amaran, Greenland kini berdepan ancaman “nafsu pemangsa” dan menyeru Eropah supaya tidak mengambil ringan terhadap situasi tersebut.
“Greenland bukan untuk dijual, bukan untuk diambil,” tegas Macron.
Beliau turut memaklumkan telah berbual dengan Trump sebelum lawatan itu dan akan membincangkan isu Greenland pada sidang kemuncak G7 di Kanada.
Namun begitu, Macron menyatakan keyakinan bahawa Amerika Syarikat tidak akan bertindak menyerang Greenland.
“Saya tidak percaya bahawa AS – yang merupakan sekutu dan sahabat – akan bertindak agresif terhadap sekutu lain,” katanya, sambil menambah bahawa beliau yakin Amerika masih komited terhadap NATO dan pakatan strategik bersejarahnya.
Trump sebelum ini tidak menolak kemungkinan untuk mengambil alih Greenland secara paksa kerana kepentingan strategik dan sumber mineral yang dimilikinya.
Malah, Naib Presiden AS, JD Vance telah mengunjungi pangkalan tentera AS di sana pada Mac lalu.
Macron juga mencatat sejarah sebagai pemimpin asing pertama yang melawat Greenland sejak ancaman terbuka Trump terhadap wilayah itu. - Agensi
#perang Iran-Israel
#Konflik Iran-Israel
#Vladimir Putin
#Emmanuel Macron
#Macron tolak cadangan Trump
#perantara perang