Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
DUNIA

Madonna gesa Pope Leo XIV lawat Gaza ‘sebelum terlambat’

Agensi 12/08/2025 | 01:40 MYT
Madonna (kiri) menggesa Pope Leo XIV untuk melakukan lawatan kemanusiaan ke Gaza bagi membantu kanak-kanak Palestin yang kebuluran, sambil memberi amaran bahawa “masa semakin suntuk.”
BINTANG pop antarabangsa, Madonna menggesa Pope Leo XIV untuk melakukan lawatan kemanusiaan ke Gaza bagi membantu kanak-kanak Palestin yang kebuluran, sambil memberi amaran bahawa “masa semakin suntuk.”

Penyanyi kelahiran Amerika yang dibesarkan sebagai penganut Katolik itu membuat rayuan terbuka kepada pemimpin tertinggi Gereja Katolik itu menerusi hantaran di Instagram pada Isnin, bertepatan dengan hari ulang tahun kelahiran anak lelakinya, Rocco.

“Most Holy Father. Tolonglah pergi ke Gaza dan bawa cahaya kepada kanak-kanak sebelum terlambat. Sebagai seorang ibu, saya tidak sanggup melihat penderitaan mereka.

"Kanak-kanak di dunia ini adalah milik semua orang. Anda satu-satunya di antara kami yang tidak boleh dihalang untuk masuk,” tulis Madonna.

Beliau menegaskan, perubahan tidak akan berlaku melalui politik, sebaliknya, melalui kesedaran manusia.

“Hadiah terbaik untuk anak saya adalah meminta semua orang melakukan apa sahaja yang termampu untuk menyelamatkan kanak-kanak tidak berdosa yang terperangkap dalam konflik di Gaza,” katanya lagi.

CNN melaporkan Vatican belum memberikan sebarang maklum balas terhadap gesaan tersebut.

Sejak dilantik pada Mei lalu, Pope Leo XIV lantang mengkritik perang Israel di Gaza dan berulang kali menyuarakan kebimbangan terhadap penderitaan rakyat Palestin yang berdepan pengeboman.

Pada Julai, beliau berkata: “Saya mengikuti dengan penuh kebimbangan situasi kemanusiaan yang teruk di Gaza, di mana penduduk awam menderita akibat kebuluran teruk serta terdedah kepada keganasan dan kematian,” sambil menyeru gencatan senjata.

Menurut UNICEF, lebih 18,000 kanak-kanak terbunuh sejak perang bermula pada 7 Oktober 2023 - purata 28 kanak-kanak setiap hari.

WHO pula menyifatkan sekatan Israel ke atas bantuan sebagai “kebuluran besar-besaran yang berpunca daripada tindakan manusia.”

Madonna menegaskan, beliau tidak menuding jari atau memilih pihak.

“Semua orang sedang menderita. Termasuk ibu kepada para tebusan. Saya berdoa agar mereka turut dibebaskan,” katanya.

Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, menyambut baik kenyataan Madonna, mengucapkan terima kasih atas “belas kasihan, solidariti dan komitmen untuk menjaga semua yang terperangkap dalam krisis Gaza, khususnya kanak-kanak.”

Data Kementerian Kesihatan Palestin menunjukkan sekurang-kurangnya 222 orang, termasuk 101 kanak-kanak, meninggal dunia akibat kekurangan zat makanan sejak perang bermula.

Ketua Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA), Ramesh Rajasingham dalam mesyuarat Majlis Keselamatan PBB pada Ahad berkata: “Ini bukan lagi krisis kebuluran yang bakal berlaku — ini adalah kebuluran sebenar.”

Israel mengawal ketat aliran bantuan dan kemasukan ke Gaza.

Dalam satu kejadian jarang berlaku pada Julai, dua pemimpin gereja dibenarkan masuk selepas serangan Israel ke atas satu-satunya gereja Katolik di Gaza yang mengorbankan tiga orang dan mencederakan beberapa yang lain.

Gereja itu sebelum ini menjadi tempat perlindungan komuniti Kristian di wilayah itu.

Sejak itu, krisis kebuluran semakin meruncing, dengan gambar kanak-kanak kurus kering mencetuskan kebimbangan global.

“Kita perlu membuka sepenuhnya pintu bantuan kemanusiaan untuk menyelamatkan kanak-kanak tidak berdosa ini. Tiada lagi masa. Tolong katakan anda akan pergi,” tulis Madonna lagi.

Sama ada kerajaan Israel pimpinan Benjamin Netanyahu akan membenarkan Pope Leo masuk ke Gaza masih belum pasti.

Namun, seruan Madonna itu mencerminkan peningkatan kecaman global terhadap perang yang berlarutan selama 22 bulan, sekali gus mengeruhkan hubungan Israel dengan sekutunya.

Australia, Kanada dan Perancis telah mengumumkan rancangan untuk mengiktiraf negara Palestin, manakala United Kingdom pula menetapkan syarat akan berbuat demikian pada September jika Israel tidak bersetuju dengan gencatan senjata di Gaza.

Gesaan Madonna hadir ketika semakin ramai artis antarabangsa, termasuk Massive Attack, Brian Eno dan terbaru kumpulan U2, menyuarakan kebimbangan terhadap krisis kemanusiaan di Gaza.

Dalam persembahan pada akhir 2023, Madonna pernah mengutuk serangan Hamas pada 7 Oktober terhadap Israel dan tindak balas ketenteraan Israel, menyifatkan perang itu sebagai “sangat memilukan.” - Agensi





#Madonna #Pope Leo #lawat Gaza #krisis kebuluran