NEW YORK: Bekas Presiden Venezuela, Nicolás Maduro dan isterinya, Cilia Flores dijangka berdepan pertuduhan baharu di Amerika Syarikat (AS) berkaitan dakwaan penyeksaan terhadap warga negara itu yang pernah ditahan oleh kerajaan Venezuela dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Menurut beberapa sumber yang mengetahui siasatan berkenaan, pengumuman berhubung pertuduhan tambahan itu berkemungkinan dibuat seawal Khamis.
Pertuduhan tersebut dikaitkan dengan penahanan yang didakwa tidak sah terhadap sejumlah warga AS di penjara Venezuela ketika Maduro masih memimpin negara itu.
Sumber yang diberi taklimat mengenai siasatan berkata, pihak penyiasat turut mempertimbangkan untuk mendakwa beberapa individu lain yang didakwa terlibat dalam penyeksaan berkenaan.
Maduro dan Flores ditahan dalam satu operasi ketenteraan Amerika Syarikat di Istana Presiden di Caracas pada Januari lalu.
Pasangan itu mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan konspirasi narkokeganasan serta beberapa pertuduhan lain dan kini ditahan tanpa jaminan di New York.
Flores dijadualkan menghadiri prosiding mahkamah pada Khamis, di mana peguamnya dijangka memohon agar beliau ditempatkan dalam tahanan rumah sementara menunggu perbicaraan.
Sementara itu, peguam Maduro sedang mencabar kesahihan penahanannya dengan berhujah bahawa bekas presiden itu sepatutnya menikmati imuniti kerana dakwaan kesalahan berkenaan berlaku ketika beliau masih memegang jawatan.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan memaklumkan kerajaan Venezuela tidak mengemukakan tuntutan imuniti bagi pihak Maduro.
Dakwaan penyeksaan
Kerajaan Maduro sebelum ini dituduh oleh kerajaan Amerika Syarikat dan kumpulan hak asasi manusia menggunakan warga Amerika yang ditahan sebagai alat tawar-menawar politik.
Beberapa bekas tahanan Amerika telah tampil berkongsi pengalaman mereka, termasuk dakwaan menjadi mangsa pelbagai bentuk penyeksaan ketika dipenjarakan.
Matthew Heath dan Osman Khan, yang dibebaskan menerusi pertukaran tahanan pada Oktober 2022, mendakwa mereka menjadi mangsa simulasi lemas (waterboarding), renjatan elektrik, ugutan serangan seksual, penggunaan dadah yang menjejaskan pemikiran serta dikurung secara berasingan untuk tempoh yang panjang.
Heath, seorang bekas anggota Marin Amerika Syarikat, turut dilaporkan cuba membunuh diri ketika dalam tahanan.
Selain itu, enam eksekutif minyak Amerika yang dikenali sebagai "CITGO 6" turut mendakwa mereka mengalami layanan kejam sepanjang hampir lima tahun ditahan di Venezuela selepas dipanggil ke negara itu pada 2017.
Menerusi tindakan saman yang difailkan, beberapa daripada mereka mendakwa menjadi mangsa penyeksaan semasa berada dalam tahanan.
Kesemua tahanan berkenaan pernah ditempatkan di Direktorat Am Perisikan Tentera Venezuela (DGCIM), sebuah agensi yang menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dikaitkan dengan penahanan secara sewenang-wenangnya, layanan buruk dan penyeksaan terhadap lawan politik serta ahli keluarga mereka.
Laporan PBB itu menyatakan DGCIM secara rutin menggunakan pelbagai bentuk penyeksaan termasuk renjatan elektrik, sesak nafas menggunakan beg plastik, simulasi lemas, pukulan, keganasan seksual, penafian makanan dan air, paksaan dalam posisi menyakitkan serta pendedahan kepada suhu ekstrem.
Menurut laporan tersebut, kaedah berkenaan digunakan untuk mendapatkan maklumat dan pengakuan, selain menakut-nakutkan serta menghukum tahanan. - Agensi