Skip to main content

Dunia

Maduro, isteri mengaku tidak bersalah atas pertuduhan baharu penyeksaan di AS

Bekas Presiden Venezuela, Nicolas Maduro dan isterinya, Cilia Flores bersama peguam masing-masing, Anna Estevao dan Mark Donnelly di New York, Amerika Syarikat, pada 22 Julai 2026. - Gambar fail/ Reuters
Bekas Presiden Venezuela, Nicolas Maduro dan isterinya, Cilia Flores bersama peguam masing-masing, Anna Estevao dan Mark Donnelly di New York, Amerika Syarikat, pada 22 Julai 2026. - Gambar fail/ Reuters

Advertisement

NEW YORK: Bekas Presiden Venezuela, Nicolas Maduro dan isterinya, Cilia Flores mengaku tidak bersalah pada Khamis atas pertuduhan baharu berkaitan penyeksaan yang dikenakan terhadap mereka.

Pasangan itu kini berada dalam tahanan Amerika Syarikat (AS) selepas ditangkap dalam operasi yang dilancarkan pada Januari lalu.

Mereka hadir di sebuah mahkamah di New York selepas pendakwa raya mendakwa kedua-duanya berkomplot melakukan penyeksaan terhadap tahanan di Venezuela, termasuk warga AS.

Antara perbuatan yang didakwa dilakukan termasuk teknik penyeksaan menggunakan air atau waterboarding, rogol dan memukul.

Maduro yang sebelum ini menyifatkan dirinya sebagai “tawanan perang”, menolak pertuduhan terbaharu itu sebagai “tuduhan palsu” dalam prosiding selama 35 minit.

Ketika ditanya hakim mengenai pengakuannya terhadap pertuduhan berkenaan, Maduro, 63, berkata: “Saya menolak dokumen ini secara keseluruhannya.”

Flores yang memakai pakaian penjara berwarna coklat sama seperti suaminya pula menegaskan: “Saya tidak bersalah sama sekali.”

Menurut pihak pendakwaan, pasangan itu didakwa menggunakan penyeksaan sebagai kaedah untuk “mengugut, mengganggu dan melumpuhkan” pihak lawan, termasuk menerusi penculikan.

Dokumen pertuduhan mendakwa Maduro mengetuai satu sistem penindasan dan penyeksaan, manakala Flores pula didakwa membantu membangunkan sistem tersebut.

Dalam satu kejadian pada 2022, pihak berkuasa Venezuela didakwa menyeksa seorang warga AS yang dituduh merancang untuk membunuh Maduro.

Menurut dokumen mahkamah, mangsa didakwa dikenakan renjatan elektrik pada tangan, kaki dan alat sulit, dicekik sehingga sukar bernafas, dipukul serta dinafikan makanan dan air.

Mangsa juga didakwa dipaksa menerima suntikan bahan tertentu sehingga menyebabkan sawan.

Sepanjang tempoh Maduro berkuasa dari 2013 hingga 2026, kumpulan hak asasi manusia secara meluas menuduh pentadbirannya menggunakan penindasan politik untuk mengekalkan kuasa.

Dakwa kebal daripada pendakwaan

Maduro dan Flores sebelum ini berdepan pertuduhan berkaitan pengedaran dadah dan senjata api di AS susulan penahanan mereka di kediaman di Caracas dalam operasi ketenteraan AS.

Pendakwa raya AS mendakwa Maduro menggunakan kuasa negara bagi melindungi serta memudahkan aktiviti penyeludupan dadah dan menjalinkan pakatan dengan kartel untuk membawa sejumlah besar kokain ke Amerika Syarikat.

Kedua-duanya dijadualkan dibicarakan di New York pada Jun tahun depan dan kini ditahan di sebuah penjara di Brooklyn.

Pasangan itu turut memohon supaya pertuduhan terhadap mereka digugurkan dengan alasan mereka mempunyai kekebalan sebagai Presiden dan Wanita Pertama sebuah negara berdaulat.

Sejak penahanan Maduro, Naib Presiden Delcy Rodriguez mengambil alih pentadbiran Venezuela sebagai pemimpin sementara ketika berdepan tekanan hebat daripada pentadbiran Presiden AS, Donald Trump.

Rodriguez antara lain melaksanakan pembaharuan bagi membuka sektor minyak Venezuela kepada pelaburan antarabangsa selain memeterai perjanjian besar yang memberikan AS kawalan terhadap sebahagian besar rizab negara itu.

Pada bulan ini, seorang hakim AS turut menolak permohonan Flores supaya beliau dipindahkan daripada penjara kepada tahanan rumah persendirian di New York bagi membolehkannya menangani masalah kesihatan.

Menantunya sebelum ini dilaporkan berkata, Flores mengalami masalah jantung yang boleh menyebabkan kegagalan jantung dalam kes yang jarang berlaku dan serius. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement