ISTIADAT PERNIKAHAN DIRAJA | Raja Muda Selangor bakal melangsungkan pernikahan pada 2 Oktober ini
DUNIA

Maduro nafi kaitan dengan dadah dalam surat kepada Trump

Bernama 22/09/2025 | 12:15 MYT
Presiden Venezuela Nicolas Maduro menolak dakwaan bahawa negaranya terlibat dalam pemerdagangan dadah, menerusi sepucuk surat kepada Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang dikongsi secara terbuka pada Ahad. - Gambar fail/REUTERS
MEXICO CITY: Presiden Venezuela Nicolas Maduro menolak dakwaan bahawa negaranya terlibat dalam pemerdagangan dadah, menerusi sepucuk surat kepada Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang dikongsi secara terbuka pada Ahad, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Dalam surat itu, Maduro berkata hubungan antara Caracas dan Washington telah dibayangi oleh "berita palsu" yang menurutnya "bertujuan untuk mewajarkan peningkatan konflik bersenjata yang akan membawa kerosakan dahsyat ke seluruh benua."

Bertarikh 6 September, surat berkenaan dimuat naik ke Facebook oleh Naib Presiden Delcy Rodriguez pada Ahad.

Petikan daripada surat itu sebelum ini sudah dilaporkan, dan Rodriguez berkata surat berkenaan telah dihantar kepada seorang pengantara Amerika Selatan untuk memastikan ia sampai kepada Trump.

Maduro berkata beliau masih terbuka untuk mengadakan "perbualan langsung dan jujur" dengan utusan khas AS Richard Grenell "bagi mengatasi gangguan media dan berita palsu."

"Presiden, saya berharap bersama-sama kita dapat menangkis kepalsuan yang telah menjejaskan hubungan kita, yang sepatutnya bersejarah dan aman," menurut surat itu.

Pemimpin Venezuela itu turut memuji usaha Trump menamatkan peperangan dan menggesa dialog bagi memastikan keamanan di benua Amerika.

Surat itu hadir di tengah-tengah ketegangan memuncak susulan operasi ketenteraan AS di Caribbean baru-baru ini serta tuduhan Washington bahawa Venezuela mengeksport dadah dan keganasan ke AS.

Pada Ogos, Kerajaan AS meningkatkan ganjaran bagi maklumat yang membawa kepada penangkapan Maduro sehingga US$50 juta. Jabatan Kehakiman AS menuduh Maduro terlibat dalam pemerdagangan dadah antarabangsa.

Menurut Maduro, terdapat "data meyakinkan" mengenai pengeluaran dan pemerdagangan dadah di Amerika Selatan yang membuktikan "Venezuela adalah wilayah bebas pengeluaran dadah dan negara yang tidak signifikan dalam bidang narkotik."

--BERNAMA-dpa



TAG: Venezuela, konflik, AS, Maduro, surat, Trump


#Presiden Venezuela Nicolas Maduro #Presiden AS Donald Trump #nafi kaitan dadah #surat kepada Trump