Maharaja Akihito turun takhta, Reiwa imperial baharu Jepun

Agensi
April 1, 2019 07:10 MYT
Mahajara Akihito dan Permaisuri Michiko akan berundur dari takhta diraja Jepun pada 30 April 2019 dan bakal digantikan dengan Tengku Mahkota Jepun, Putera Naruhito. - Gambar fail REUTERS
MULAI Mei 1, Jepun akan memulakan era imperial baharu yang dinamakan ‘Reiwa’ - bermaksud keharmonian dan ketertiban.
Ia bakal digunakan oleh Putera Naruhito sebaik ayahandanya, Maharaja Akihito turun takhta pada akhir bulan ini sekali gus mengakhiri era ‘Heisei’.
Ketua Setiausaha Kabinet Yoshihide Suga mengumumkan nama baharu yang ditunggu-tunggu itu dengan menunjukkan papan bertuliskan aksara perkataan tersebut.
‘Reiwa’ menyiratkan maksud: “Budaya dapat dilahir dan dipelihara apabila hati orang disatukan bersama,” kata Perdana Menteri Shinzo Abe di sidang media pada Isnin.
Nama yang datang daripada teks kuno Jepun itu turut selaras dengan agenda Abe yang konservatif bagi menaikkan semangat kebangsaan.
Ia diambil daripada Manyoshu, satu koleksi puisi kuno, berbeza daripada nama-nama imperial sebelum yang kebanyakannya dipetik daripada teks China.
Reiwa juga menjadi pilihan selepas kerajaan mengambil masa berbulan-bulan mengkaji kertas cadangan daripada ahli akademik negara itu.
Cadangan-cadangan yang diterima kerajaan juga dibincangkan secara muafakat oleh sembilan orang ahli panel yang merangkumi golongan cerdik pandai antaranya bekas Pengerusi Persekutuan Perniagaan Jepun, Sadayuki Sakakibara, novelis terkena, Mariko Hayashi dan pemenang Anugerah Nobel yang juga saintis Shinya Yamanaka.
Apabila ditanya mengenai keistimewaan menggunakan nama dipetik daripada teks Jepun, Abe kata: “Ia satu koleksi yang mempamerkan budaya kita, yang mana kita patut merasakan bangga.”
Menurut Koichi Nakano, seorang penganalisis politik di Sophia University, interpretasi Abe selaras dengan mesejnya kepada rakyat untuk merasakan sifat bangga dengan tradisi negara itu.
Jepun telah mengimport sistem kalendar imperial dari China sejak 1,300 tahun dahulu.
Terdapat empat nama yang digunakan dalam zaman moden: Meiji (1868-1912); Taisho (1912-1926); Showa (1926-1989) dan; Heisei yang kini digunakan dan bermaksud “mencapai keamanan”.
Maharaja Akihito yang dilahirkan pada 1933 mewarisi takhta diraja Jepun pada 1989 menggantikan ayahandanya Maharaja Hirohito sekali gus bergelar pemerintah ke-125 dalam sejarah panjang keluarga diraja negara itu.
Baginda merupakan putera diraja pertama yang berkahwin dengan wanita kebanyakan, Michiko Shoda pada 1959.
#Asia #China #empayar #Jepun #Maharaja Akihito #politik #Reiwa #Shinzo Abe