SARA 2025: Semakan Kelayakan Dibuka – RM100 Dikredit Terus ke MyKad
DUNIA

Mahkamah Agung Pakistan benarkan jaminan Imran Khan dalam beberapa kes rusuhan 2023

Agensi 21/08/2025 | 10:00 MYT
Mahkamah Agung Pakistan benarkan jaminan kepada bekas Perdana Menteri Imran Khan dalam kes serangan ke atas kemudahan tentera Mei 2023. - Foto Reuters
ISLAMABAD: Mahkamah Agung Pakistan pada Khamis membenarkan jaminan kepada bekas Perdana Menteri, Imran Khan, dalam beberapa kes berkaitan serangan terhadap kemudahan ketenteraan pada Mei 2023.


Ringkasan AI
  • Mahkamah Agung Pakistan membenarkan jaminan kepada Imran Khan dalam lapan kes berkaitan serangan terhadap kemudahan ketenteraan pada Mei 2023, namun beliau kekal dipenjara kerana sabitan kes rasuah.
  • Panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Yahya Afridi menerima rayuan Khan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Lahore yang sebelum ini menolak permohonan jaminan.
  • Rusuhan besar tercetus selepas penahanan Khan pada Mei 2023, melibatkan serangan ke atas kemudahan ketenteraan oleh penyokongnya.


Panel tiga hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Yahya Afridi, menerima rayuan Khan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Lahore yang sebelum ini menolak permohonan jaminannya dalam lapan kes melibatkan insiden keganasan tahun lalu.

Menurut rekod mahkamah dan peguamnya, mahkamah mengarahkan pembebasan Khan, 72, sekiranya beliau tidak lagi dikehendaki dalam mana-mana kes lain.

Bagaimanapun, bekas bintang kriket yang bertukar kerjaya menjadi ahli politik itu tetap akan kekal dipenjara kerana sedang menjalani hukuman selepas disabitkan dalam kes rasuah.

Khan kini berdepan pelbagai pertuduhan termasuk rasuah dan keganasan, yang didakwanya sebagai “tidak berasas” dan bermotifkan politik.

Beberapa pemimpin dan Ahli Parlimen daripada parti beliau, Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI), termasuk pemimpin pembangkang di kedua-dua dewan Parlimen, turut disabitkan kesalahan dalam kes serupa.

Rusuhan besar tercetus pada Mei 2023 selepas Khan ditahan seketika atas tuduhan rasuah, menyebabkan beberapa kemudahan ketenteraan, termasuk ibu pejabat tentera yang dikenali sebagai General Headquarters (GHQ) di bandar garison Rawalpindi, diserbu para penyokongnya. -- Agensi



#Imran Khan #Ketua Hakim Negara #Mahkamah Tinggi #rusuhan