DUNIA
Mahkamah Agung AS tolak permintaan percepat semakan kes tarif Trump
Kes ini dijangka memberi kesan besar terhadap dasar perdagangan dan kuasa eksekutif presiden dalam menetapkan tarif tanpa kelulusan Kongres. - Foto fail/REUTERS
WASHINGTON: Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) menolak permintaan untuk mempercepatkan semakan terhadap cabaran undang-undang ke atas tarif perdagangan yang dikenakan oleh Presiden Donald Trump, menurut laporan media pada Jumaat.
Permintaan itu dikemukakan oleh syarikat mainan pendidikan milik keluarga, Learning Resources, yang sebelum ini memenangi keputusan mahkamah persekutuan pada 29 Mei lalu.
Keputusan tersebut menyatakan bahawa Trump tidak mempunyai kuasa untuk mengenakan tarif secara unilateral menggunakan Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa (IEEPA).
Namun, keputusan itu kini digantung sementara menunggu rayuan.
Learning Resources memohon agar Mahkamah Agung mengambil langkah luar biasa dengan terus mendengar kes itu, sekali gus memintas Mahkamah Rayuan Daerah Columbia yang kini sedang meneliti rayuan kerajaan.
Mahkamah Agung bagaimanapun menolak permintaan tersebut, membiarkan proses rayuan berjalan seperti biasa.
Dua mahkamah daerah sebelum ini turut memutuskan bahawa tarif yang dikenakan oleh Trump tidak sah di sisi undang-undang berdasarkan IEEPA.
Setakat ini, tiada mahkamah yang menyokong penggunaan kuasa kecemasan secara meluas seperti yang didakwa oleh Trump dalam mengenakan tarif terhadap pelbagai negara.
Kes ini dijangka memberi kesan besar terhadap dasar perdagangan dan kuasa eksekutif presiden dalam menetapkan tarif tanpa kelulusan Kongres.
Sementara itu, tarif yang dipertikaikan masih kekal berkuat kuasa sehingga keputusan muktamad dicapai.