[TERKINI] Kes Zayn Rayyan: Bapa Dibebaskan, Ibu Diperintah Bela Diri – Semak Laporan Penuh Di Sini
INTERNATIONAL

Mahkamah AS halang tarif Trump, dakwa langgar kuasa Presiden

Agensi 29/05/2025 | 01:15 MYT
Trump dan Setiausaha Perdagangan AS Howard Lutnick ketika sidang media berhubung tarif AS di Rose Garden, White House, Washington DC, AS, 2 Apr 2025. - Gambar fail/REUTERS
NEW YORK: Mahkamah Perdagangan Antarabangsa Amerika Syarikat (AS) pada Rabu menghalang pelaksanaan tarif import yang diumumkan Presiden Donald Trump, dengan menyatakan bahawa beliau telah melampaui kuasa diberikan undang-undang.

Panel tiga hakim di mahkamah tersebut menyatakan tarif yang dikenakan atas nama “Hari Pembebasan” melanggar kuasa perdagangan termaktub di bawah Kongres dan tidak disokong oleh Akta Kuasa Ekonomi Darurat Antarabangsa (IEEPA).

"Mahkamah tidak menilai kebijaksanaan atau keberkesanan penggunaan tarif oleh Presiden sebagai 'leverage'."

"Penggunaan tersebut tidak dibenarkan bukan kerana ia tidak bijak atau tidak berkesan, tetapi kerana undang-undang persekutuan tidak membenarkannya," tambah mereka.

Keputusan ini adalah hasil daripada tindakan undang-undang yang difailkan oleh beberapa syarikat kecil dan 13 negeri AS yang mendakwa tarif itu menjejaskan perniagaan mereka.

Syarikat-syarikat tersebut, termasuk pengimport minuman keras dari New York serta pengeluar kit pendidikan dan alat muzik dari Virginia.

Pentadbiran Trump segera memfailkan notis rayuan terhadap keputusan tersebut.

Peguam dan wakil dari White House tidak memberikan komen segera mengenai keputusan mahkamah ini.

Timbalan Ketua Staf White House, Stephen Miller, dan salah seorang penasihat dasar utama Trump, mengkritik keputusan mahkamah dalam satu hantaran media sosial ringkas, dengan menulis: "Rampasan kuasa kehakiman ini di luar kawalan."

Trump sebelum ini mendakwa bahawa beliau mempunyai kuasa luas untuk menetapkan tarif di bawah IEEPA, yang bertujuan menangani ancaman luar biasa semasa darurat nasional.

Beliau telah mencadangkan tarif 10 peratus ke atas semua import dan lebih tinggi terhadap negara yang mempunyai defisit perdagangan besar dengan AS, khususnya China.

Sementara itu, Peguam Negara Oregon, Dan Rayfield, seorang Demokrat yang mengetuai tuntutan mahkamah dari negeri-negeri tersebut, menyifatkan tarif Trump sebagai tidak sah, cuai dan merosakkan ekonomi.

"Keputusan ini menegaskan bahawa undang-undang kita penting, dan keputusan perdagangan tidak boleh dibuat sesuka hati oleh presiden," kata Rayfield dalam satu kenyataan.



#perang perdagangan #Amerika Syarikat #tarif AS #Donald Trump