DUNIA

Mahkamah Hong Kong mula dengar rayuan mitigasi taikun media, Jimmy Lai sebelum hukuman dijatuhkan

Agensi 12/01/2026 | 00:30 MYT
Jimmy Lai, tiba di mahkamah di Hong Kong pada 18 Mei 2020. - Gambar fail AP
HONG KONG: Mahkamah Tinggi Hong Kong pada Isnin (12 Jan) akan mendengar rayuan mitigasi jutawan pro-demokrasi, Jimmy Lai, langkah terakhir sebelum hukuman dijatuhkan dalam perbicaraan keselamatan negara yang mendapat kecaman antarabangsa dan berpotensi menyaksikan Lai dipenjara seumur hidup.

Lai, 78, bulan lalu didapati bersalah atas dua pertuduhan konspirasi bersekongkol dengan kuasa asing di bawah undang-undang keselamatan negara yang digubal China, serta konspirasi menerbitkan bahan hasutan.

Beliau menafikan semua pertuduhan.

Amerika Syarikat (AS), Britain, Kesatuan Eropah dan beberapa pihak lain mengkritik keputusan itu.

Setiausaha Negara AS, Marco Rubio berkata, ia menunjukkan “penguatkuasaan undang-undang Beijing untuk menutup suara yang mempertahankan kebebasan bersuara dan hak asasi.”

Lai, pengasas akhbar pro-demokrasi Apple Daily yang kini ditutup, merupakan tokoh paling berprofil tinggi didakwa di bawah tindakan keras keselamatan negara selepas protes besar-besaran pada 2019.

Hakim dalam penghakiman mereka menyatakan Lai menggunakan pengaruh dan akhbar Apple Daily untuk “melaksanakan kempen berterusan bagi melemahkan legitimasi atau autoriti China dan Hong Kong”, sambil menyifatkan keterangan beliau sebagai “bercanggah, tidak konsisten dan tidak boleh dipercayai”.

Rayuan mitigasi dijangka berlangsung empat hari

Lapan lagi tertuduh telah mengaku bersalah, lima daripadanya menjadi saksi pendakwaan termasuk bekas CEO Next Digital, Cheung Kim-hung; bekas penerbit bersama Apple Daily, Chan Pui-man; dan bekas penulis editorial Yeung Ching-kee.

Prosiding mitigasi untuk semua tertuduh bermula jam 10 pagi dan dijangka berlangsung selama empat hari, manakala hukuman akan diumumkan kemudian.

Sejak Jumaat, puluhan orang beratur di luar bangunan mahkamah untuk melihat Lai dan tertuduh lain, malah ada yang bermalam di jalanan dengan selimut dan kotak.

Lai, yang merupakan warganegara Britain, telah ditahan secara bersendirian lebih 1,800 hari.

Dua anaknya memberi amaran kesihatan beliau semakin merosot dan jika meninggal dunia dalam penjara, ia akan menyebabkan “kerosakan tidak dapat dipulihkan terhadap reputasi Hong Kong.”

Presiden AS, Donald Trump, dalam satu wawancara bulan ini berkata beliau telah meminta Presiden China, Xi Jinping membebaskan Lai, yang digelar sebagai “aktivis positif”, namun belum menerima maklum balas.

Desakan pembebasan dari PBB

Lima pakar yang dilantik Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut menggesa pembebasan Lai atas alasan kemanusiaan, sambil menyatakan sabitan itu menunjukkan “kemerosotan mendadak kebebasan asas dan kebebasan kehakiman.”

Bagaimanapun, pihak berkuasa Hong Kong menegaskan Lai diberi perbicaraan adil dan undang-undang keselamatan negara telah membawa kestabilan. - Agensi


#Jimmy Lai #taikun media #rayuan mitigasi #mahkamah Hong Kong