Mahkamah Jenayah Antarabangsa buka semula siasatan 'perang dadah' oleh Filipina

Bernama
Januari 27, 2023 09:25 MYT
ICC mendapati "pelbagai inisiatif dan prosiding domestik yang dinilai secara kolektif, tidak mencapai tahap penyiasatan yang nyata, konkrit dan progresif dengan cara yang mencerminkan penyiasatan oleh mahkamah". - Gambar fail/AP
MANILA: Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) akan menyambung semula penyiasatan terhadap 'perang dadah' oleh Filipina yang menyebabkan beribu-ribu orang terkorban dengan menyatakan bahawa usaha kerajaan untuk meneliti dakwaan salah guna kuasa tidak mencukupi, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).
ICC menggantung siasatan pada November 2021 atas permintaan kerajaan Filipina yang memaklumkan pihak berkuasa tempatan sedang meneliti sekurang-kurangnya 52 kes daripada ribuan yang terbunuh dalam perang dadah.
"Berikutan analisis teliti ke atas maklumat yang disediakan oleh Filipina, ICC tidak berpuas hati terhadap tahap siasatan dijalankan oleh negara itu yang mewajarkan penangguhan siasatan mahkamah berdasarkan prinsip saling melengkapi," memetik kenyataan mahkamah pada Khamis.
ICC mendapati "pelbagai inisiatif dan prosiding domestik yang dinilai secara kolektif, tidak mencapai tahap penyiasatan yang nyata, konkrit dan progresif dengan cara yang mencerminkan penyiasatan oleh mahkamah".
Timbalan Pengarah Human Rights Watch Asia Phil Robertson pada Jumaat menyambut baik keputusan itu kerana hanya ICC menawarkan laluan ke hadapan untuk mengisi kekosongan akauntabiliti memandangkan kerajaan tidak melakukan usaha sebenar atau tulen.
"Siasatan ICC di Filipina merupakan satu-satunya usaha yang boleh dipercayai untuk memberi keadilan kepada mangsa dan keluarga mereka akibat 'perang melawan dadah' oleh bekas Presiden Rodrigo Duterte," katanya.
Perang terhadap dadah dilancarkan oleh Duterte selepas beliau dipilih sebagai presiden pada 2016 atas platform antijenayah.
Polis berkata lebih 6,000 orang terbunuh dalam operasi menentang dadah haram semasa pentadbiran Duterte. Namun kumpulan hak asasi manusia mendakwa jumlah kematian mungkin tiga kali lebih tinggi daripada jumlah itu.
-- BERNAMA
#Rodrigo Duterte #Filipina #perang dadah #Mahkamah Jenayah Antarabangsa