DUNIA

Mahkamah Keadilan Antarabangsa akan dengar kes Rohingya terhadap Myanmar Januari ini

Bernama 20/12/2025 | 09:00 MYT
Prosiding itu susulan permohonan yang difailkan oleh Gambia pada November 2019, yang menuduh Myanmar melanggar "Konvensyen Mengenai Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid". - Gambar fail/ Reuters
BRUSSELS: Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), badan kehakiman utama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), akan mengadakan sesi pendengaran awam dari 12 hingga 29 Jan berhubung dakwaan bahawa Myanmar melakukan genosid terhadap minoriti Muslim Rohingya, lapor Anadolu Ajansi (AA) menurut satu kenyataan pada Jumaat.

Prosiding itu susulan permohonan yang difailkan oleh Gambia pada November 2019, yang menuduh Myanmar melanggar "Konvensyen Mengenai Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid".

Gambia memohon ICJ mengisytiharkan bahawa Myanmar telah melanggar kewajipannya di bawah konvensyen itu, mengarahkan pemberhentian sebarang perbuatan salah serta memastikan bayaran pampasan dan jaminan bahawa tindakan itu tidak berulang terhadap mangsa Rohingya.

Mahkamah sebelum ini telah menetapkan langkah-langkah sementara terhadap Myanmar pada Januari 2020, dan kedua-dua pihak sejak itu telah mengemukakan hujahan bertulis mengenai merit kes berkenaan.

Sebanyak 11 negara - Kanada, Denmark, Perancis, Jerman, Belanda, United Kingdom, Maldives, Slovenia, Republik Demokratik Congo, Belgium dan Ireland - telah memfailkan pengisytiharan campur tangan.

Pendengaran itu akan menumpukan kepada merit kes, termasuk keterangan daripada saksi dan pakar.

Minoriti Muslim Rohingya telah lama menderita akibat penindasan di Negeri Rakhine, Myanmar, dengan pihak berkuasa dituduh melakukan genosid. Kira-kira satu juta orang telah melarikan diri ke negara jiran Bangladesh sejak 2017.

-- BERNAMA




#ICJ #Rohingya #Myanmar #genosid Rohingya