DUNIA

Mahkamah Korea Selatan bebaskan lelaki dihukum mati 50 tahun lepas

Bernama 19/01/2026 | 13:01 MYT
"Mahkamah membuat keputusan dalam kes ini dengan rasa menyesal kerana badan kehakiman tidak memenuhi harapan rakyat." - Gambar hiasan
SEOUL: Mahkamah Seoul pada Isnin secara anumerta membebaskan seorang lelaki yang dihukum mati 50 tahun lepas atas dakwaan cuba membina semula organisasi bawah tanah pro-Korea Utara, lapor Agensi Berita Yonhap.

Mahkamah Daerah Timur Seoul dalam perbicaraan semula kes berkenaan mendapati mendiang Kang Eul-seong tidak bersalah atas tuduhan melanggar Akta Keselamatan Negara atas alasan bukti tidak mencukupi.

Kang, seorang pekerja tentera awam, telah dihukum bunuh pada 1976 selepas ditahan dan diseksa oleh pihak berkuasa perisikan balas tentera kerana didakwa cuba membina semula Parti Revolusi Penyatuan atas arahan daripada Korea Utara pada 1974.

Organisasi bawah tanah itu dibongkar oleh agensi perisik Korea Selatan di bawah pentadbiran Presiden Park Chung-hee pada 1968.

Menurut mahkamah, ia tidak dapat membuat kesimpulan bahawa Kang memuji atau bersimpati dengan aktiviti antinegara (hanya) kerana membaca kertas yang diterbitkan di Korea Utara.

"Hati (kami) terasa berat. Walaupun kesilapan lalu telah dibetulkan, kerosakan tidak dapat dipulihkan dan hakikat bahawa ia sudah terlambat, meninggalkan rasa tidak berdaya," menurut mahkamah.

"Kami membuat keputusan dalam kes ini dengan rasa menyesal kerana badan kehakiman tidak memenuhi harapan rakyat.

"Sebagai anggota badan kehakiman yang melakukan kesilapan, saya sekali lagi menundukkan kepala untuk memohon maaf kepada ahli keluarga yang ditinggalkan," menurut mahkamah lagi.

Pendakwa raya memohon pembebasan Kang dalam perbicaraan semula dengan mengatakan bahawa kebenaran prosedur tidak disimpan dalam perbicaraan asal. Mereka tidak akan memohon rayuan.

Pejabat Pendakwa Raya Daerah Timur Seoul memohon maaf kepada defendan dan warisnya, sambil berikrar untuk tetap setia pada tugas terasnya.

Keluarga Kang menyatakan hasrat untuk mendapatkan permohonan maaf bukan sahaja daripada badan kehakiman tetapi juga kementerian pertahanan.

"Kementerian pertahanan dengan sewenang-wenangnya menangani kes itu dan kami bercakap tentang bagaimana kami harus mendapatkan permohonan maaf daripada kementerian pertahanan," kata Jin-ok, anak perempuan sulung Kang kepada Agensi Berita Yonhap menerusi telefon.

"Kami bercakap tentang bagaimana kami harus mencubanya, jika boleh," katanya. "Kami telah berjuang selama 53 tahun yang lalu dan kami tidak fikir ia akan berlaku serta-merta."

Kes berkenaan yang terbaharu berhubung organisasi bawah tanah itu membabitkan defendan dibebaskan

Sebelum ini, empat yang dituduh cuba membina semula kumpulan pro-Korea Utara dibebaskan secara anumerta dalam perbicaraan semula.

-- BERNAMA

#kang eul-seong #mahkamah #Korea Selatan #bebas tuduhan #hukuman mati