DUNIA

Mahkamah Korea Selatan kekal tolak permohonan kerakyatan warga asing atas rekod jenayah

Bernama 21/12/2025 | 10:00 MYT
Mahkamah di Seoul mengekalkan keputusan terdahulu Kementerian Kehakiman untuk menolak permohonan kewarganegaraan melalui proses naturalisasi seorang warga asing berikutan rekod jenayah lampau. - Foto hiasan
SEOUL: Mahkamah di Seoul mengekalkan keputusan terdahulu Kementerian Kehakiman untuk menolak permohonan kewarganegaraan melalui proses naturalisasi seorang warga asing berikutan rekod jenayah lampau, lapor Agensi Berita Yonhap.

Menurut sumber perundangan pada Ahad, Mahkamah Pentadbiran Seoul menolak saman yang difailkan oleh warga asing berkenaan yang memohon agar keputusan kementerian menolak permohonan naturalisasinya dibatalkan.

Pemohon, yang kewarganegaraannya tidak didedahkan telah memohon pasport Korea Selatan selepas berkahwin dengan seorang warga Korea Selatan.

Namun, selepas pasangan itu bercerai, asas perundangan permohonannya berubah dan kementerian menolak permohonan itu dengan mengambil kira rekod jenayahnya.

Kementerian Kehakiman memutuskan bahawa individu berkenaan gagal memenuhi syarat "kelakuan baik" seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Kewarganegaraan.

Warga asing itu pernah dirujuk kepada prosiding perlindungan juvana atas kesalahan kecurian berunsur berat dan turut dikenakan denda kerana memandu tanpa lesen.

Individu itu berhujah bahawa meskipun mempunyai rekod jenayah, tindakan kementerian menolak permohonan kewarganegaraan adalah terlalu keras.

Bagaimanapun, mahkamah pentadbiran memutuskan bahawa dia merupakan pesalah berulang dalam tempoh yang panjang dan kesalahannya tidak boleh dianggap kecil.

Mahkamah turut menyatakan bahawa individu berkenaan tidak mendedahkan sejarah jenayahnya pada peringkat awal ketika mengemukakan permohonan kewarganegaraan.

Mahkamah juga menegaskan bahawa keputusan Kementerian Kehakiman itu tidak berlebihan kerana warga asing itu masih dibenarkan menetap di Korea Selatan berdasarkan visa migran perkahwinan F-6, serta boleh memohon semula kewarganegaraan pada masa hadapan.

-- BERNAMA



#mahkamah Korea Selatan #permohonan kerakyatan #rekod jenayah #kerakyatan warga asing