INTERNATIONAL
Mahkamah Korea Selatan pecat Suk Yeol berikutan pengisytiharan undang-undang tentera

Dengan pemecatan Yoon, pilihan raya presiden perlu diadakan dalam tempoh 60 hari, selaras dengan perlembagaan negara. - Foto fail/REUTERS
SEOUL: Mahkamah Perlembagaan Korea Selatan memutuskan untuk memecat Presiden Yoon Suk Yeol, mengesahkan usul pemecatan yang diluluskan oleh parlimen berikutan tindakan kontroversinya mengisytiharkan undang-undang tentera tahun lalu.
Keputusan itu mengakhiri tempoh pemerintahan Yoon yang mencetuskan krisis politik paling serius di negara itu dalam beberapa dekad.
Dengan pemecatan Yoon, pilihan raya presiden perlu diadakan dalam tempoh 60 hari, selaras dengan perlembagaan negara.
Perdana Menteri Han Duck-soo akan terus menjalankan tugas sebagai pemangku presiden sehingga presiden baharu mengangkat sumpah.Keputusan mahkamah ini menutup tirai berbulan-bulan ketidakstabilan politik yang telah menjejaskan usaha Korea Selatan dalam menghadapi pentadbiran baharu Presiden AS, Donald Trump, pada waktu pertumbuhan ekonomi yang perlahan.
Secara berasingan, Yoon, 64, kini berdepan perbicaraan jenayah atas tuduhan pemberontakan.
Bekas pemimpin yang dilanda kontroversi itu menjadi presiden Korea Selatan pertama yang ditangkap ketika masih memegang jawatan pada 15 Januari lalu, tetapi dibebaskan pada Mac selepas mahkamah membatalkan waran tangkapnya.
Krisis politik ini tercetus apabila Yoon mengisytiharkan undang-undang tentera pada 3 Disember, mendakwa langkah itu diperlukan untuk membanteras elemen “anti-negara” serta menghalang Parti Demokratik pembangkang daripada menyalahgunakan majoriti parlimen mereka, yang menurutnya merosakkan negara.
Namun, perintah itu hanya bertahan selama enam jam sebelum dibatalkan selepas ahli parlimen menentang usaha pasukan keselamatan untuk menutup bangunan parlimen dan mengundi untuk menolak dekri tersebut. Yoon menegaskan bahawa beliau tidak pernah berniat untuk melaksanakan pemerintahan tentera sepenuhnya dan cuba meredakan ketegangan dengan menyatakan bahawa tiada sesiapa yang tercedera.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami