DUNIA

Mahkamah Perlembagaan Thailand timbang petisyen singkirkan Perdana Menteri Paetongtarn

Astro Awani 01/07/2025 | 01:40 MYT
Seorang penunjuk perasaan memegang plakad ketika demonstrasi antikerajaan berlangsung di Tugu Peringatan Kemenangan, bagi mendesak Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra, meletakkan jawatan. - Foto REUTERS
BANGKOK: Mahkamah Perlembagaan Thailand hari ini dijangka meneliti petisyen yang menggesa penggantungan dan pemecatan Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra, susulan dakwaan pelanggaran etika menteri dalam satu perbualan diplomatik kontroversi dengan bekas pemimpin Kemboja, Hun Sen.

Ringkasan AI
  • Petisyen pemecatan PM Paetongtarn dibawa ke Mahkamah Perlembagaan atas dakwaan pelanggaran etika dalam perbualan diplomatik dengan Hun Sen.
  • Audio bocor timbulkan kontroversi, termasuk rujukan kepada komander tentera sebagai -lawan- dan gaya bahasa yang dianggap melemahkan moral pasukan keselamatan.
  • Tekanan politik memuncak, kemungkinan penggantungan boleh cetuskan krisis kepimpinan dan ketidakstabilan politik baharu.

Petisyen tersebut, yang difailkan oleh sekumpulan senator konservatif, berpunca daripada rakaman audio bocor yang menunjukkan Paetongtarn merujuk seorang komander tentera Thailand sebagai “lawan” dan menggunakan bahasa mesra terhadap Hun Sen ketika ketegangan sempadan Thai-Kemboja memuncak.
Kritikan tertumpu kepada dakwaan bahawa nada dan pendekatannya melemahkan imej keselamatan negara dan moral tentera.
Bekas hakim Mahkamah Perlembagaan, Jaral Phakdeethanakul, menjangkakan mahkamah akan menerima petisyen itu dan mengeluarkan perintah penggantungan segera.
Sekiranya digantung, Timbalan Perdana Menteri Phumtham Wechayachai dijangka mengambil alih tugas sebagai pemangku perdana menteri sepanjang tempoh perbicaraan yang boleh memakan masa sehingga lapan bulan.
Paetongtarn, yang baru setahun memegang jawatan, kini berdepan tekanan politik yang semakin hebat selepas kehilangan sokongan daripada rakan gabungan konservatif.
Tinjauan pendapat terkini menunjukkan penurunan mendadak dalam kadar sokongan rakyat terhadap beliau.
“Saya akan biarkan proses berjalan,” kata Paetongtarn kepada media.
“Kalau tanya sama ada saya risau, ya, saya risau.”
Keputusan mahkamah ini dijangka memberi kesan besar terhadap kestabilan politik Thailand yang sedia rapuh, dengan pemerhati memberi amaran bahawa penggantungan boleh mencetuskan protes baharu dan memperdalam perpecahan politik dalam negara.
#mahkamah perlembagaan #Paetongtarn Shinawatra #pemecatan #petisyen