DUNIA

Mahkamah Singapura tolak permohonan tangguh hukuman mati Pannir Selvam

Bernama 05/09/2025 | 22:30 MYT
Mahkamah Rayuan Singapura tolak permohonan Pannir Selvam tangguh hukuman mati, gagal buktikan dasar MHA berubah secara tidak sah. - Foto fail
SINGAPURA: Mahkamah Rayuan Singapura pada Jumaat menolak permohonan banduan warga Malaysia yang dijatuhi hukuman mati, Pannir Selvam Pranthaman untuk penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu keputusan prosiding tatatertib berhubung aduannya kepada Persatuan Undang-Undang Singapura terhadap bekas peguamnya.

Dalam pendengaran awal permohonan pascarayuannya, mahkamah menyatakan bahawa permohonan penangguhan hukuman itu pada asasnya bergantung kepada prinsip bahawa dasar Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) mengenai penjadualan hukuman mati mesti dilaksanakan secara sama rata kepada semua.

Panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Sundaresh Menon menyatakan dalam penghakiman mereka pada Jumaat bahawa mahkamah telah mempertimbangkan sama ada MHA telah mengubah dasarnya secara tidak sah dan dalam apa jua keadaan, sama ada perbezaan dasar MHA antara prosiding yang dibawa oleh Negara dan bukan oleh Negara adalah menyalahi undang-undang.

Mahkamah menyatakan bahawa Negara berhak mengubah dasarnya selagi perubahan itu tidak terbukti sebagai tidak sah berdasarkan alasan perundangan tertentu.

"Oleh itu, dalam kes ini, masih menjadi tanggungjawab pemohon untuk membuktikan bahawa perubahan dasar MHA itu tidak sah. Pada pandangan kami, beliau tidak berjaya tidak berjaya berbuat demikian," menurut penghakiman itu.

Selain itu, mahkamah menyatakan bahawa walaupun MHA telah mengubah dasar mengenai penjadualan hukuman mati, pemohon gagal mengenal pasti sebarang asas untuk mencabar kesahan perubahan berkenaan.

Sementara itu, mahkamah juga menolak hujahan Pannir Selvam bahawa perbezaan dasar MHA menyebabkan layanan berbeza terhadap banduan yang menunggu pelaksanaan hukuman mati (PACP) bergantung sama ada keterangan mereka diperlukan dalam prosiding yang dibawa oleh pihak Negara atau bukan Negara.

"Pertama sekali, kami tekankan bahawa PACP ialah individu yang telah dijatuhi hukuman mati mengikut undang-undang dan sabitan serta hukuman mereka telah dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan selepas rayuan atau semakan," menurut penghakiman itu.

Mahkamah memutuskan bahawa perbezaan dasar MHA antara prosiding yang dibawa oleh Negara dan bukan Negara bukanlah sesuatu yang menyalahi undang-undang, sama ada kerana melanggar Perkara 12(1) Perlembagaan, mahupun kerana bersifat tidak munasabah atau tidak rasional.

Mahkamah turut mengambil maklum bahawa alasan kedua permohonan pascarayuan Pannir Selvam dalam kes hukuman mati (permohonan PACC) berhubung prosiding yang dibawa oleh empat banduan lain kini tidak lagi relevan setelah mahkamah menolak kes itu.

Pannir Selvam disabitkan oleh Mahkamah Tinggi pada 2 Mei 2017 atas kesalahan membawa masuk tidak kurang daripada 51.84 gram diamorfin ke Singapura dan dijatuhi hukuman mati mandatori.

Rayuannya ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 9 Feb 2018, manakala petisyen pengampunannya kepada Presiden Singapura turut ditolak.

Pannir Selvam sebelum ini pernah diberikan penangguhan hukuman sebanyak dua kali. Kali pertama pada Mei 2019, atas alasan beliau berhasrat mencabar penolakan petisyen pengampunan dan keputusan Pendakwa Raya untuk tidak mengeluarkan sijil bantuan substantif kepadanya.

Penangguhan pelaksanaan hukuman kali kedua diberikan pada Feb 2025, sementara menunggu keputusan permohonan PACC ini.

-- BERNAMA





#Pannir Selvam #hukuman mati #dasar MHA #Dadah