[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
DUNIA

Mahkamah Thailand putuskan nasib Thaksin elak hukuman penjara

Agensi 09/09/2025 | 01:20 MYT
Mahkamah Agung Thailand dijangka mengumumkan keputusan hari ini (9 September) sama ada bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra, perlu menjalani baki hukuman penjara yang didakwa cuba dielakkan ketika ditahan di hospital. - Gambar fail Reuters
BANGKOK: Mahkamah Agung Thailand dijangka mengumumkan keputusan hari ini (9 September) sama ada bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra, perlu menjalani baki hukuman penjara yang didakwa cuba dielakkan ketika ditahan di hospital.

Keputusan kes berprofil tinggi ini berpotensi menyaksikan taikun paling berpengaruh negara itu akhirnya merengkok di penjara.

Thaksin pulang ke tanah air pada 2023 selepas 15 tahun hidup dalam buangan sukarela.

Namun, beliau hanya menghabiskan beberapa jam di penjara sebelum dipindahkan ke hospital atas alasan masalah jantung dan sakit dada – langkah yang mencetuskan keraguan meluas dan kemarahan rakyat.

Hukuman penjara lapan tahun ke atasnya atas kesalahan konflik kepentingan dan salah guna kuasa kemudiannya dikurangkan kepada setahun oleh Raja Thailand.

Thaksin kemudian dibebaskan bersyarat selepas hanya enam bulan – keseluruhan tempoh itu dihabiskan di wad orang kenamaan hospital.

Krisis politik keluarga Shinawatra

Nasib politik keluarga Thaksin kembali tercabar selepas anaknya, Paetongtarn Shinawatra, yang juga dianggap pewaris politik beliau, digugurkan jawatan sebagai Perdana Menteri oleh mahkamah 11 hari lalu.

Paetongtarn merupakan Perdana Menteri keenam daripada keluarga atau disokong Shinawatra yang disingkirkan sama ada oleh badan kehakiman atau pihak tentera.

Kekacauan politik berlarutan beberapa hari sebelum kerajaan Paetongtarn tumbang Jumaat lalu, selepas dicabar Anutin Charnvirakul yang berjaya dipilih sebagai Perdana Menteri baharu oleh Parlimen – kekalahan memalukan buat parti Pheu Thai yang pernah dominan.

Mahkamah nilai status tahanan hospital

Mahkamah akan menilai sama ada tempoh rawatan hospital boleh dikira sebagai sebahagian daripada hukuman penjara.

Jika tidak, Thaksin mungkin diarahkan menyempurnakan hukuman di penjara.

Bagi tujuan itu, mahkamah telah mendapatkan rekod perubatan Thaksin serta memanggil 20 saksi, termasuk bekas Ketua Jabatan Penjara dan doktor yang merawatnya.

Majlis Perubatan Thailand sebelum ini menggantung dua doktor kerana mengeluarkan dokumen perubatan palsu, manakala seorang doktor penjara diberikan amaran kerana gagal mematuhi piawaian ketika merujuk Thaksin ke hospital.

Walaupun berusia 76 tahun, Thaksin dilihat berada dalam keadaan sihat ketika kembali dari buangan pada 2023, malah kembali aktif dalam politik selepas pembebasannya walaupun secara rasmi sudah bersara.

Peguamnya pada Jun lalu mempertahankan bahawa beliau benar-benar sakit sepanjang tempoh rawatan di hospital dan menegaskan, Thaksin sudah “menjalani sepenuhnya” hukumannya.

Di tengah krisis partinya, Thaksin sempat terbang ke Dubai Khamis lalu – lokasi utama beliau menghabiskan tempoh buangan – sekali gus mencetuskan spekulasi bahawa beliau sekali lagi melarikan diri daripada keadilan.

Namun, beliau kembali ke Bangkok pada Isnin dan berjanji untuk hadir mendengar keputusan mahkamah. - Agensi


#Thaksin Shinawatra #hukuman penjara #Paetongtarn Shinawatra #pewaris politik