Pasukan peguam Cristiano Ronaldo pada Jumaat berkata mereka akan mengemukakan saman terhadap produksi majalah Jerman, Der Spiegel, kerana menerbitkan laporan atas talian yang ‘tidak berasas’.

Laporan itu berdasarkan dakwaan daripada seorang wanita Amerika yang mengatakan bahawa dirinya dirogol bintang bola sepak Portugis itu pada 2009.

Peguam Christian Schertz dalam satu kenyataan berkata, laporan tersebut ‘penuh kesangsian dan melanggar privasi’, selain mendesak akan mengambil tindakan undang-undang bagi pihak anak guamnya.

Ronaldo merupakan salah satu daripada nama besar dalam dunia sukan antarabangsa. Beliau telah lima kali dinobat sebagai pemain terbaik, selain telah dibayar sejumlah 100 juta Euro untuk berpindah ke Juventus dari Real Madrid.

Majalah Der Spiegel melaporkan, jenayah rogol itu berlaku pada Jun 2009 di sebuah bilik hotel di Las Vegas.

Dakwaan itu dirujuk daripada Leslie Mark Stovall, iaitu peguam yang mewakili mangsa bernama Kathryn Mayorga.

Sebelum ini, Ronaldo dan Mayorga bersetuju menyelesaikan hal itu di luar mahkamah, dengan Mayorga berikrar untuk tidak lagi menyebut tentang perkara itu selepas menerima bayaran AS$375,000 dari Ronaldo.

“Kathryn telah diserang secara seksual pada Jun 2009 oleh individu bernama Cristiano Ronaldo,” ujar Stovall, dalam siaran video dalam talian Der Spiegel.

Stovall telah memfailkan aduan sivil yang memohon pengisytiharan perjanjian luar mahkamah itu terbatal.

“Tujuan saman ini adalah untuk memastikan Cristiano Ronaldo bertanggungjawab atas kecederaan yang dilakukan ke atas Kathryn Mayorga serta kesan daripada kecederaan itu,” tegas Stovall.

Schertz pula akan mendesak pampasan daripada Der Spiegel atas ‘kerosakan moral dan pelanggaran hak persendirian’ yang dilakukan ke atas Ronaldo.