[TERKINI] Gelombang Serangan Baharu Iran-Israel | Trump Timbang Tindakan Ketenteraan AS. Klik untuk laporan penuh.
INTERNATIONAL

Majlis Hak Asasi Manusia PBB bangkitkan kebimbangan mengenai penghantaran tentera Korea Utara

Bernama 23/03/2025 | 12:05 MYT
Walaupun resolusi sebelum ini menggesa Pyongyang agar menahan diri dalam penggunaan kekerasan, draf tahun ini secara jelas menekankan potensi kesannya terhadap keselamatan global. - Reuters
SEOUL: Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dijangka membangkitkan kebimbangan mengenai dakwaan penghantaran tentera Korea Utara ke Rusia bagi menyokong perangnya di Ukraine dalam resolusi terbaharu berhubung situasi hak asasi manusia di Pyongyang, lapor Agensi Berita Yonhap pada Ahad, memetik dokumen rasmi.
Draf resolusi yang dikemukakan pada Khamis oleh Poland dan Australia telah dikeluarkan oleh Pejabat Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia.
Ia menggesa Korea Utara supaya "menahan diri daripada menggunakan kekerasan yang membawa maut atau secara berlebihan di sempadannya serta di tempat lain, khususnya jika tindakan itu memburukkan lagi penderitaan orang awam, mencetuskan pelanggaran hak asasi manusia dan menggugat keselamatan antarabangsa."
Walaupun resolusi sebelum ini menggesa Pyongyang agar menahan diri dalam penggunaan kekerasan, draf tahun ini secara jelas menekankan potensi kesannya terhadap keselamatan global.
Resolusi itu dijangka diterima pakai pada sesi ke-58 Majlis Hak Asasi Manusia PBB, yang dijadual berlangsung dari 2 hingga 4 April, berikutan perbincangan dalam kalangan negara anggota.
Korea Selatan telah menjadi penaja bersama resolusi berkenaan bagi tahun ketiga berturut-turut.
-- BERNAMA
#Majlis Hak Asasi Manusia #PBB #penghantaran tentera #Korea Utara #Rusia #perang #Ukraine