[TERKINI] Krisis Iran-Israel Meluas | Serangan AS ke Tapak Nuklear Cetus Kebimbangan Global – Ini Apa yang Kita Tahu Setakat Ini
DUNIA

Majlis Kebangsaan Palestin gesa bantuan segera untuk Semenanjung Gaza

Bernama 22/06/2025 | 12:51 MYT
Semua bandar dan pekan di Semenanjung Gaza, dari Rafah ke Beit Hanoun, dari Gaza ke Khan Yunis, telah menjadi zon bencana yang dipenuhi pelarian yang diburu maut. - AP
RAMALLAH: Majlis Kebangsaan Palestin (PNC) pada Ahad menggesa parlimen antarabangsa, serantau dan Arab mengambil tindakan pantas bagi melindungi rakyat Palestin dan menyalurkan bantuan segera ke Semenanjung Gaza susulan bencana kemanusiaan yang semakin buruk akibat serangan berterusan Israel, lapor Agensi Berita Qatar (QNA).
Speaker PNC Rawhi Fattouh menekankan bahawa Semenanjung Gaza sedang menyaksikan keadaan kemanusiaan yang tidak pernah terjadi sebelum ini, termasuk kematian beramai-ramai akibat pengeboman, kelaparan, kehausan, pemindahan, ketiadaan rawatan serta sistem kesihatan yang lumpuh sepenuhnya.
Fattouh menjelaskan bahawa semua bandar dan pekan di Semenanjung Gaza, dari Rafah ke Beit Hanoun, dari Gaza ke Khan Yunis, telah menjadi zon bencana yang dipenuhi pelarian yang diburu maut walaupun berada di tempat perlindungan sementara dan di pusat agihan makanan yang kini menjadi sasaran langsung untuk pembunuhan.
Speaker PNC itu menyeru agar undang-undang darurat segera digubal untuk memperuntukkan jumlah simbolik bersamaan kos satu hidangan, satu liter air atau sekotak ubat dengan tujuan menyelamatkan nyawa kanak-kanak, warga emas dan wanita yang sedang menanggung kelaparan, penyakit, kesejukan dan cuaca panas.
-- BERNAMA
#bantuan #Majlis Kebangsaan Palestin #Semenanjung Gaza #bantuan kemanusiaan #kebuluran #kesihatan #kematian #Palestin