DUNIA

Majlis Keselamatan PBB perbaharui mandat pasukan pengaman di Congo

Bernama 20/12/2025 | 07:00 MYT
UNSC memperbaharui mandat Misi Penstabilan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Republik Demokratik Congo (MONUSCO) untuk tempoh setahun lagi. - Gambar fail/ AP
HAMILTON (Kanada): Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) pada Jumaat memperbaharui mandat Misi Penstabilan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Republik Demokratik Congo (MONUSCO) untuk tempoh setahun lagi, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Resolusi yang dirangka oleh Perancis itu melanjutkan mandat MONUSCO sehingga 20 Dis 2026.

Resolusi berkenaan menerima sokongan sebulat suara, dengan kesemua 15 anggota UNSC mengundi menyokongnya.

"Perancis telah berusaha mengambil kira pendirian semua anggota UNSC bagi mencapai keputusan berasaskan konsensus," kata Wakil Tetap Perancis ke PBB Jerome Bonnafont sebelum pengundian.

"Teks ini mencerminkan, namun juga mengingatkan bahawa sekatan terhadap kebebasan pergerakan MONUSCO serta pelaksanaan mandatnya adalah tidak boleh diterima," katanya sambil menggesa Majlis supaya "bersedia untuk bertindak sekiranya sekatan ini berterusan."

Beliau turut berkata bahawa "pengundian hari ini merupakan satu pencapaian penting bagi MONUSCO, yang hanya boleh membuahkan hasil berdasarkan kemajuan ketara di lapangan, mengambil kira tahap serius serta keperluan mendesak situasi berkenaan."

-- BERNAMA



#Congo #PBB #pasukan pengaman #UNSC