[TERKINI] Penamaan Calon PRN Sabah Bermula – Siapa Bakal Bertanding? Ikuti Perkembangan Terkini di Sini!
DUNIA

Majlis Keselamatan PBB terus tidak sepakat berhubung tindak balas di Gaza

Bernama 15/11/2025 | 10:18 MYT
Percubaan menimbulkan perpecahan ketika ini akan membawa akibat yang serius kepada penduduk di Gaza. - AP
NEW YORK: Amerika Syarikat (AS) dan Rusia telah mengemukakan draf resolusi yang saling bertentangan mengenai konflik di Semenanjung Gaza kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sekali gus mencetuskan pertentangan dalam kalangan kuasa veto majlis itu, ketika para diplomat berkata pengundian boleh diadakan seawal minggu depan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Draf AS itu bertujuan memastikan pelan damai Timur Tengah (Asia Barat) Presiden Donald Trump mendapat sokongan.

"Kami menggesa Majlis Keselamatan agar merebut detik bersejarah ini untuk merintis jalan ke arah keamanan berkekalan di Asia Barat dengan menyokong resolusi ini," menurut Misi Tetap AS ke PBB dalam kenyataan pada Khamis.

Percubaan menimbulkan perpecahan ketika ini akan membawa akibat yang serius kepada penduduk di Gaza.

Mesir, Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Pakistan, Arab Saudi, Jordan dan Turkiye secara terbuka menyokong draf AS.

Rusia, bagaimanapun, telah mengemukakan drafnya sendiri yang antara lain termasuk pengiktirafan Palestin sebagai sebuah negara.

China telah memberi isyarat bahawa ia bersedia menyokong draf Rusia.

Rusia, China dan AS masing-masing memegang kuasa veto dalam majlis itu - bermakna mana-mana resolusi yang mereka tolak melalui undian tidak dapat diluluskan.

Awal minggu ini, negara-negara demokrasi utama Kumpulan Tujuh (G7) menggesa mandat Majlis Keselamatan PBB bagi memastikan pelaksanaan segera pelan damai Gaza.

Dalam fasa kedua, pelan itu merangkumi pelucutan senjata Hamas serta penempatan pasukan penstabilan antarabangsa dan pentadbiran sementara terdiri daripada teknokrat Palestin.

Majlis Keselamatan PBB berulang kali tidak sepakat mengenai konflik berkenaan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

-- BERNAMA

#Majlis Keselamatan #PBB #Amerika Syarikat #Rusia #draf resolusi #pelan damai