MAJLIS Pakar dijangka membuat keputusan untuk menamakan pemimpin tertinggi Iran yang baru menggantikan Ayatollah Ali Khamanei.
Anggota Majlis Pakar, Ayatollah Mohammad‑Mahdi Mirbagheri, berkata keputusan itu dibuat hasil mesyuarat tanpa henti di tengah konflik Asia Barat yang semakin memuncak.
Advertisement
“Ahli‑ahli terhormat Majlis Pakar telah berusaha menentukan kepimpinan baru dan tidak mengecewakan; pendapat yang tegas dan majoriti jelas telah terbentuk,” katanya melalui rakaman video yang disiarkan di laman X, Fars News, hari ini.
Keputusan itu dibuat bagi menggantikan Khamenei, 86, yang terkorban dalam serangan Amerika Syarikat-Israel di Teheran pada 28 Februari lalu.
Kini jawatan tersebut disandang oleh Majlis Kepimpinan Sementara Iran melibatkan tiga anggota iaitu Presiden, Masoud Pezeshkian; Ketua Hakim Gholah-Hossein Mohseni-Eje’i dan Ayatollah Alireza Arafi.
Majlis Pakar, yang terdiri daripada 88 anggota pakar agama dan dipilih melalui pilihan raya umum di Iran, bertanggungjawab memilih, memantau, dan menilai prestasi Pemimpin Tertinggi serta mempunyai kuasa mencadangkan pengganti sekiranya seorang pemimpin tidak lagi mampu menjalankan tugasnya.
Untuk rekod, ini merupakan mesyuarat Majlis Pakar kali kedua sejak penubuhannya pada 1979 selepas Revolusi Islam Iran. Mesyuarat pertama diadakan pada 1989 untuk memilih Khamenei menggantikan Ruhollah Musavi Khomeini.
Namun begitu, media antarabangsa menjangkakan jawatan paling berkuasa di Republik Islam itu akan diberikan kepada anak Khamenei, Mojtaba Khamenei.
Jawatan tersebut menjadi tumpuan kerana memiliki kuasa melantik atau menyingkirkan pegawai tertinggi negara, termasuk Ketua Kehakiman, panglima tentera, dan Pengawal Revolusi Islam.
Pada masa sama, pemegang jawatan itu juga memantau dasar luar negara yang menentukan hala tuju Iran.