Skip to main content

Dunia

Majlis Perlembagaan Perancis batalkan larangan media sosial individu bawah 15 tahun

FILE PHOTO: Teenagers look at their mobile phone screens during an interview with Reuters about the bill aimed at banning the use of social networks for those under 15 and mobile phones in high schools from the start of the 2026 school year, in Paris, France, February 20, 2026. REUTERS/Manuel Ausloos/File Photo
Remaja menggunakan telefon bimbit ketika diwawancara Reuters mengenai rang undang-undang bagi melarang penggunaan media sosial oleh individu bawah 15 tahun serta telefon bimbit di sekolah menengah bermula sesi persekolahan 2026, di Paris, Perancis, 20 Feb 2026. - Gambar fail/REUTERS
Advertisement

PARIS: Majlis Perlembagaan Perancis pada Jumaat membatalkan undang-undang yang melarang individu berusia bawah 15 tahun daripada mengakses media sosial, dengan memutuskan bahawa langkah itu merupakan pencabulan tidak seimbang terhadap kebebasan bersuara, lapor Xinhua.

Badan perlembagaan itu menyatakan bahawa larangan menyeluruh berkenaan akan terpakai kepada perkhidmatan komunikasi dalam talian yang risikonya terhadap kesihatan dan keselamatan kanak-kanak belum dapat dibuktikan, lapor Franceinfo.

Ia turut menyatakan undang-undang itu gagal mengambil kira usia, keadaan keluarga atau tahap kematangan kanak-kanak, selain tidak menetapkan syarat yang membolehkan ibu bapa memberi kebenaran untuk mengakses media sosial atau menarik balik sekatan.

Susulan keputusan itu, Istana Elysee mengumumkan bahawa Presiden Emmanuel Macron mengarahkan Perdana Menteri Sebastien Lecornu untuk mengusahakan pindaan terhadap rang undang-undang itu yang kukuh daripada segi perundangan secepat mungkin, dengan mengambil kira keputusan Majlis Perlembagaan serta peraturan Eropah.

Pejabat Presiden turut menegaskan bahawa Macron kekal komited untuk melaksanakan pembaharuan itu sebelum musim bunga 2027.

Undang-undang berkenaan, yang pada asalnya dijadualkan berkuat kuasa pada September, merupakan antara cadangan utama yang disokong Macron bagi melindungi kesihatan dan keselamatan golongan bawah umur. Rang undang-undang itu diluluskan Parlimen Perancis pada 21 Julai.

-- BERNAMA-XINHUA

 

 

Must Watch Video

Advertisement