Skip to main content

Dunia

Majoriti rakyat Kanada sokong rundingan perdagangan dengan AS ditamatkan

ADOBE STOCK
Rakyat Kanada turut menunjukkan sokongan kukuh terhadap rancangan kerajaan untuk mengenakan tarif balas dolar-untuk-dolar pada 8 September. - Gambar hiasan
Advertisement

OTTAWA: Sebilangan besar rakyat Kanada menyokong keputusan Kerajaan Persekutuan untuk menghentikan rundingan perdagangan dengan Amerika Syarikat, menurut tinjauan terbaharu, lapor Xinhua.

Tinjauan yang dijalankan antara  22 hingga 23 Ogos oleh Angus Reid Institute menunjukkan bahawa 76 peratus responden menyokong pendirian Kerajaan Persekutuan itu, dengan sokongan majoriti direkodkan di setiap wilayah.

Malah dalam kalangan penyokong Parti Konservatif, parti pembangkang utama, 53 peratus bersetuju bahawa tindakan menghentikan rundingan adalah "tepat" berbanding menerima perjanjian yang tidak menguntungkan.

Rakyat Kanada turut menunjukkan sokongan kukuh terhadap rancangan kerajaan untuk mengenakan tarif balas dolar-untuk-dolar pada 8 September, dengan 62 peratus menyifatkan skim tarif balas itu sebagai "wajar dalam keadaan semasa".

Data menunjukkan 64 peratus rakyat Kanada percaya negara itu akhirnya akan menjadi lebih kukuh apabila mengurangkan kebergantungan ekonominya terhadap AS manakala 26 peratus bimbang mengenai kerosakan jangka panjang terhadap hubungan dengan rakan dagang terpentingnya.

Bagaimanapun, tinjauan itu turut mendedahkan kebimbangan mengenai risiko kehilangan pekerjaan akibat pertikaian perdagangan berkenaan. Kira-kira 13 peratus pekerja Kanada berkata mereka "sangat bimbang" kehilangan pekerjaan manakala 25 peratus lagi menyatakan tahap kebimbangan yang berbeza.

Pakar industri sebelum ini meramalkan bahawa situasi tanpa perjanjian akan mengurangkan 0.4 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Kanada dan menyebabkan sebanyak 90,000 pekerjaan terjejas.

-- BERNAMA-XINHUA

Must Watch Video

Advertisement