DUNIA

Malawi isytihar wabak polio selepas virus cVDPV2 dikesan di Blantyre

Astro Awani 01/02/2026 | 08:45 MYT
Virus cVDPV2 membawa risiko kesihatan serius dan boleh menyebabkan lumpuh kekal, khususnya dalam kalangan kanak-kanak. -Gambar fail/Reuters
LILONGWE: Kerajaan Malawi mengisytiharkan wabak polio selepas poliovirus jenis 2 yang berpunca daripada vaksin (cVDPV2) dikesan dalam sampel persekitaran di bandar komersial Blantyre.


Ringkasan AI
  • Kerajaan Malawi mengisytiharkan wabak polio selepas kesan poliovirus jenis 2 dari vaksin dikesan di Blantyre.
  • Virus tersebut boleh menyebabkan lumpuh kekal, mengancam kesihatan kanak-kanak, dan tindakan pencegahan diperhebat.
  • Malawi merancang kempen imunisasi tambahan dan kerjasama dengan UNICEF untuk memerangi polio serta memastikan vaksin sampai ke kawasan berisiko.

Klik di sini untuk FAQ berkaitan artikel ini

Pengesanan itu dibuat melalui pemantauan rutin kumbahan di dua lokasi berbeza, menurut kenyataan Kementerian Kesihatan negara itu.

Setiausaha Kesihatan dan Sanitasi, Dan Namarika, berkata virus tersebut membawa risiko kesihatan serius dan boleh menyebabkan lumpuh kekal, khususnya dalam kalangan kanak-kanak — sama seperti poliovirus liar.

Susulan nasihat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kerajaan Malawi kini memperhebat langkah kawalan dan pencegahan, termasuk meningkatkan kebersihan makanan, pemantauan komuniti serta memastikan kanak-kanak menerima vaksinasi lengkap.

Bagi mengelakkan penularan lebih meluas, Malawi turut merancang melaksanakan kempen imunisasi tambahan dalam masa terdekat.

Negara itu kali terakhir mengaktifkan tindak balas polio pada 2022 selepas pengesanan kes poliovirus liar, sekali gus menamatkan rekod lebih tiga dekad bebas penyakit tersebut.

Sejak itu, tiada kes baharu dilaporkan sehinggalah penemuan terbaharu cVDPV2 ini.

UNICEF memaklumkan ia terus bekerjasama rapat dengan kerajaan Malawi dalam usaha memerangi polio, termasuk menyediakan 6.8 juta dos vaksin dan membantu mengukuhkan rantaian bekalan imunisasi.

Sokongan itu turut merangkumi pembaikan peralatan rantai sejuk dan keperluan logistik bagi memastikan vaksin sampai ke semua kawasan berisiko.

Pihak berkuasa menasihatkan orang ramai supaya menjaga kebersihan makanan dan persekitaran, selain memastikan anak-anak menerima imunisasi lengkap sebagai langkah perlindungan utama terhadap jangkitan polio.







Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
  • Q: Apakah punca pengisytiharan wabak polio di Malawi?
    A: Pengisytiharan wabak polio di Malawi berpunca daripada penemuan poliovirus jenis 2 yang berasal daripada vaksin (cVDPV2) dalam sampel persekitaran di bandar Blantyre.
  • Q: Apa tindakan yang diambil oleh kerajaan Malawi bagi mengawal penularan polio?
    A: Kerajaan Malawi telah meningkatkan langkah kawalan dan pencegahan, termasuk meningkatkan kebersihan makanan, pemantauan komuniti, serta memastikan kanak-kanak menerima vaksinasi lengkap. Mereka juga merancang melaksanakan kempen imunisasi tambahan.
  • Q: Apa yang dilakukan UNICEF bagi membantu dalam usaha memerangi polio di Malawi?
    A: UNICEF bekerjasama rapat dengan kerajaan Malawi dengan menyediakan 6.8 juta dos vaksin polio, serta membantu mengukuhkan rantaian bekalan imunisasi. Mereka juga membantu dalam pembaikan peralatan rantai sejuk dan keperluan logistik bagi memastikan vaksin sampai ke kawasan berisiko.



#polio #Malawi #vaksin #UNICEF #cVDPV2