DUNIA

Malaysia, ASEAN gesa negara Asia Timur hentikan 80 tahun ‘kekebalan’ Israel

Firdaus Azil 11/07/2025 | 04:20 MYT
Mohamad berkata, konflik yang berlaku di seluruh dunia mesti ditangani dengan berkesan, dan kemusnahan serta penderitaan yang tidak terhingga mesti diringankan. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Malaysia dan ASEAN menggesa peserta Forum Asia Timur, termasuk kuasa global seperti Amerika Syarikat (AS), China dan Rusia untuk menghentikan konflik di serata dunia, termasuk kekejaman rejim Zionis Israel di Palestin.


Ringkasan AI
  • Malaysia dan ASEAN menyeru kuasa global seperti AS, China dan Rusia agar menghentikan konflik global, termasuk kekejaman Israel di Palestin, dengan menekankan keperluan tindakan berasaskan keadilan dan kemanusiaan.
  • ASEAN menyokong usaha damai di Ukraine dan Asia Barat yang berlandaskan undang-undang antarabangsa serta Piagam PBB, dan menggesa penglibatan rakan kongsi untuk menjamin keamanan dan kemakmuran serantau.
  • Malaysia menekankan kepentingan strategik Forum Asia Timur sebagai platform dialog dan kerjasama, dengan kekuatan ekonomi gabungan yang besar, serta menyeru agar prinsip diplomasi dan penghormatan terhadap undang-undang antarabangsa terus diperkukuh.


Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, konflik yang berlaku di seluruh dunia mesti ditangani dengan berkesan, dan kemusnahan serta penderitaan yang tidak terhingga mesti diringankan.

ASEAN, katanya lagi, mengalu-alukan dan menyokong semua usaha ke arah keamanan, termasuk di Ukraine serta Asia Barat, dan ia seharusnya berlandaskan undang-undang antarabangsa, undang-undang kemanusiaan antarabangsa, dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Konflik paling lama dalam sejarah moden, yang berpunca daripada penjajahan tidak sah dan tidak adil terhadap wilayah Palestin, mesti ditamatkan.

"Tempoh 80 tahun bebas daripada sebarang tindakan telah mendorong Israel untuk melakukan pembunuhan beramai-ramai secara terbuka, termasuk mengakibatkan kebuluran besar-besaran yang melibatkan bayi dan kanak-kanak. Ini adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.

“Ia tidak boleh dibiarkan berterusan. Ia mesti dihentikan. Marilah kita menandakan Sidang Kemuncak Asia Timur ke-20 ini dengan ikrar untuk mengambil tindakan tegas bagi menamatkan semua konflik, dan melakukannya berlandaskan prinsip keadilan, kesaksamaan, dan kemanusiaan,” katanya lagi.

Mohamad berkata, ASEAN mengharapkan penglibatan yang membina dan komitmen semua rakan kongsi untuk memastikan keamanan yang berkekalan, kemakmuran bersama, dan kemajuan berterusan untuk semua.

Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ucapan pembukaan Sidang Kemuncak Menteri-menteri Luar Asia Timur (EAS FMM) ke-15 yang berlangsung di ibu negara pada Jumaat.

EAS pertama kali dianjurkan pada 2005 di Kuala Lumpur, sewaktu Malaysia menjadi pengerusi ASEAN, dianggotai oleh sepuluh negara serantau, dan disertai lapan rakan dialog – Australia, China, India, Jepun, New Zealand, Korea Selatan, Rusia, dan Amerika Syarikat.

Dalam pada itu Mohamad berkata, penting untuk negara peserta mengekalkan tujuan dan objektif EAS, menggalakkan penglibatan yang berprinsip, dan memajukan titik persamaan dalam isu-isu yang menjadi kepentingan bersama.

Katanya lagi, Malaysia menghargai sokongan negara-negara peserta EAS terhadap keutamaannya sebagai Pengerusi untuk memupuk kepercayaan strategik melalui diplomasi, muhibah, dan penghormatan terhadap undang-undang antarabangsa, termasuk melalui platform ini.

“Dengan jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal gabungan kira-kira AS$68 trilion, negara-negara yang hadir di dewan ini mewakili lebih separuh daripada ekonomi global.

“Kekuatan ekonomi ini mengukuhkan kepentingan strategik EAS, bukan sahaja sebagai platform dialog, tetapi juga sebagai enjin kerjasama yang berkuasa, yang memperluas kemakmuran bersama dan meningkatkan daya tahan sosio-ekonomi,” katanya lagi.






#ASEAN25 #Forum Asia Timur #genosid israel #Malaysia