KUALA LUMPUR:Syarikat penyelidikan teknologi Comparitech menyenaraikan Malaysia di tempat kelima dalam kalangan 96 negara dari segi pengumpulan dan penggunaan data biometrik. 

Berkongsi tempat dengan Iraq, Malaysia beroleh hanya 7 mata daripada 31 mata mengikut skala yang diberikan.

Kaji selidik itu mendapati kedua-dua negara itu mempunyai mempunyai sistem biometrik pada pasport, kad pengenalan, dan pangkalan data biometrik yang besar dengan akses polis.

Walau bagaimanpun, tiada undang-undang perlindungan data yang dilihat ke atas penggunaan biometrik dan CCTV pengenalan wajah.







Pengumpulan Data Biometrik China Terburuk

China dalam pada itu menjadi negara yang mempunyai pengumpulan dan penggunaan data biometrik terburuk dengan hanya memperoleh 2 daripada 31 mata keseluruhan.

Antara sebabnya adalah kekurangan sistem pengundian biometrik dan kebenaran kemasukan pemegang pasport dari Singapura, Brunei, dan Jepun tanpa visa sehingga 15 hari.

Pemarkahan itu dibuat berikutan sistem pengundian China yang terlalu dikawal dan menuntut negara itu melaksanakan sepenuhnya pengundian biometrik.

Sesetengah pihak mungkin berharap draf undang-undang perlindungan maklumat peribadi China akan membantu meningkatkan penggunaan biometrik negara itu.

Namun, data genetik dan biometrik tidak termasuk dalam draf berkenaan.

Costa Rica, Iran di belakang China

Dalam pada itu, di belakang China, Costa Rica di tangga kedua, dengan tiga mata daripada 31 skor.

Ia berikutan negara itu baru sahaja melaksanakan sistem pengecaman wajah antara negara dan ia turut membenarkan beberapa negara untuk memasuki negara tanpa visa.

Buat masa ini, undang-undang perlindungan data di Costa Rica tidak mampu melindungi penggunaan biometrik dan  mengiktiraf biometrik sebagai data sensitif.

Manakala, Iran pula di tangga ketiga, di mana ia memperoleh hanya 5 daripada 31 mata yang turut melibatkan pangkalan data biometrik dan aksesnya kepada polis serta penggunaannya yang meluas.

Ia juga tidak memiliki perlindungan biometrik yang memadai dan jumlah biometrik pelancong juga dalam skala besar.


Amerika Syarikat turut tersenarai

Amerika Syarikat, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Bangladesh, Filipina dan Uganda pula berada di tangga keempat dalam kalangan lima negara terburuk dalam pengumpulan pangkalan data biometrik.

Enam negara itu memperoleh 6 daripada 31 mata.

Antara sebab negara-negara ini tersenarai adalah kerana kurangnya undang-undang khusus untuk melindungi biometrik warganegara.

Walaupun terdapat undang-undang yang melindungi biometrik penduduk di negeri, namun banyak data biometrik warga Amerika Syarikat terdedah kerana tiada peruntukan undang-undang di peringkat persekutuan.

Keadaan itu juga sama di negara yang tersenarai di tangga sama kerana masalah pangkalan data biometrik yang besar dengan akses polis, undang-undang yang tidak mencukupi atau tiada perlindungan penggunaan biometrik dan penggunaan pengecaman wajah yang semakin meningkat atau meluas.


Turkmenistan negara terbaik pengumpulan data biometrik

Dalam pada itu, Turkmenistan disenaraikan negara paling terbaik bagi pengumpulan data biometerik dengan skor 25/31.

Antara sebab utama, negara itu mempunyai data perlindungan data yang berkesan dalam mengiktiraf biometrik sebagai data sensitif.

Ia sekali gus membantu keselamatan warganegara, pelancong dan mengelak salah guna data kalangan pekerja.

Di tempat kedua ialah Ethiopia  (22/31),  diikuti, Azerbaijan dan Bahrain (20/31), Portugal dan Ireland (21/31) serta Guatemala, Luxembourg, Paraguay, Poland, Romania, Tunisia dan United Kingdom (17/31).

Kaji Selidik dilakukan Comparitech ini melibatkan kajian pengumpulan data biometrik di 96 negara di seluruh dunia.