DUNIA
Malaysia gesa AS, Eropah paksa Israel hentikan serangan ke atas Iran
Anwar berkata, beliau memahami tindakan Iran yang menyerang balas Israel demi mempertahankan diri. - Gambar/ Reuters
KUALA LUMPUR: Malaysia menggesa Amerika Syarikat dan negara Eropah memaksa rejim Israel menghentikan serangan ke atas Iran, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ringkasan AI
- Malaysia menggesa Amerika Syarikat dan negara Eropah supaya menekan Israel agar menghentikan serangan terhadap Iran, yang dianggap tindakan ganas terhadap negara jiran.
- Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa Iran bertindak balas demi mempertahankan diri, dan menzahirkan kebimbangan terhadap potensi sekatan di Selat Hormuz yang boleh menjejaskan ekonomi global.
- Anwar turut mengesahkan bahawa syarikat minyak dan gas utama seperti Petronas, TotalEnergies, ENI dan Aramco sedang memantau situasi di Asia Barat dengan rapat, namun industri masih belum terjejas setakat ini.
Menurut Anwar, Israel dengan biadab bertindak ganas terhadap semua negara-negara jirannya dan memaksa Iran untuk bertindak balas mempertahankan diri.
“Bagaimana boleh satu negara (Israel) secara biadab dan ganas menyerang semua negara-negara jirannya? Dan sebab itu kita faham mengapa Iran terpaksa serang balas untuk mempertahankan negara mereka,” katanya.
Ditanya mengenai kebimbangan Iran akan mengenakan sekatan di Selat Hormuz, Anwar berkata laluan minyak global yang penting itu masih dibuka, namun timbul keresahan kerana melibatkan soal ekonomi.
Malah beliau turut mengesahkan semua pemain industri minyak dan gas memberi perhatian khusus susulan ketegangan yang kian memuncak di Asia Barat ketika ini.
“Tentunya nampak membimbangkan... Selat Hormuz sama ada menyekat atau tidak... setakat ini masih ada laluan, walaupun ada kebimbangan daripada syarikat tapi ini soal kesan ekonomi.
“Buat masa kini, saya berbincang dengan Setiausaha Agung OPEC Haitham Al Ghais, dan pemain utama (syarikat) Petronas, TotalEnergies, ENI dan Aramco.
“Sudah tentu mereka memerhatikan suasana ini dengan rapat, tetapi ia tidak menjejaskan industri dan berharap isu ini dapat diselesaikan lebih awal,” katanya.
Anwar berkata demikian ditemui media selepas menyampaikan ucaptama semasa Persidangan Energy Asia 2025 di sini, hari ini.