DUNIA

Malaysia, India tegaskan kerjasama BRICS dan sokongan bersama

Bernama 08/02/2026 | 08:15 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Perdana Menteri India Narendra Modi di Kompleks Seri Perdana hari ini. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Malaysia dan India menegaskan semula sokongan bersama terhadap peranan masing-masing dalam BRICS, sambil menekankan kerjasama itu sebagai pencapaian strategik ke arah memperkukuh orde antarabangsa yang lebih seimbang dan berperwakilan.

Kedua-dua negara, dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan susulan lawatan rasmi Perdana Menteri India Narendra Modi, menyatakan bahawa Malaysia menyambut baik kepimpinan India selaku Pengerusi BRICS pada 2026.

India pula menegaskan komitmennya untuk menyokong peranan Malaysia sebagai negara rakan BRICS serta mengambil maklum aspirasi Malaysia untuk menjadi anggota BRICS.

"Kedua-dua pemimpin mengiktiraf kerjasama ini sebagai satu pencapaian strategik ke arah memperkukuh orde antarabangsa yang lebih seimbang dan berperwakilan.

"Mereka juga berkongsi pandangan bahawa penglibatan sedemikian menyediakan platform penting kepada negara-negara untuk menyumbang secara konstruktif kepada tadbir urus global yang saksama dan pembangunan mampan," menurut kenyataan bersama itu.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Modi mengadakan mesyuarat dua hala di Putrajaya bagi memperkukuh hubungan serta meningkatkan kerjasama yang meluas antara Malaysia dan India.

Menurut kenyataan bersama itu, kedua-dua Perdana Menteri bersetuju untuk memperkukuh kerjasama dalam forum pelbagai hala, termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), serta reformasi institusi antarabangsa.

Kedua-dua pemimpin turut berikrar untuk bekerjasama bagi memperkukuh multilateralisme yang mencerminkan realiti semasa bagi menjadikan organisasi antarabangsa, termasuk Majlis Keselamatan PBB (UNSC), lebih berperwakilan.

Kedua-dua pemimpin juga membincangkan sokongan bersama bagi pencalonan di peringkat antarabangsa.

Modi dan Anwar mengulangi komitmen mereka untuk menghormati kebebasan pelayaran dan penerbangan, Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982, serta menggesa semua pihak menyelesaikan pertikaian secara aman selaras dengan prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf sejagat.

Kedua-dua pemimpin turut menegaskan komitmen untuk mempromosikan Indo-Pasifik yang bebas, terbuka, berasaskan peraturan, aman dan makmur, serta mengalu-alukan peningkatan kerjasama bagi melaksanakan inisiatif di bawah Pandangan ASEAN mengenai Indo-Pasifik (AOIP) dan Inisiatif Lautan Indo-Pasifik India (IPOI).

Kenyataan bersama itu turut menyatakan bahawa Anwar menyambut baik sokongan penuh dan konsisten India terhadap Perpaduan ASEAN dan Kepusatan ASEAN.

Ia menambah bahawa Modi menghargai kejayaan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 serta berterima kasih kepada Malaysia dan negara anggota ASEAN lain atas sokongan mereka dalam memperkukuh Perkongsian Strategik Komprehensif ASEAN-India.

Malaysia dan India telah menaik taraf hubungan kepada Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) pada Ogos 2024.

-- BERNAMA


#Malaysia #India #Anwar Ibrahim #Narendra Modi #BRICS