DUNIA

Malaysia mainkan peranan utama dalam Visi MAHASAGAR dan Dasar Tindakan Ke Timur India - Modi

Bernama 07/07/2025 | 05:00 MYT
Modi bertemu rakan sejawatannya dari Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim di luar Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-17 di Brazil. - Foto X @narendramodi
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Narendra Modi menyifatkan Malaysia sebagai penting kepada India dan memainkan peranan utama dalam Visi MAHASAGAR dan Dasar Tindakan ke Timur India.


Ringkasan AI
  • Malaysia Penting dalam Visi India PM Narendra Modi menyifatkan Malaysia sebagai rakan strategik utama dalam Visi MAHASAGAR dan Dasar Tindakan ke Timur India, khususnya dalam sektor teknologi, tenaga boleh baharu dan infrastruktur.
  • Pertemuan di Sidang Kemuncak BRICS Modi dan Anwar bertemu di luar Sidang Kemuncak BRICS ke-17 di Brazil untuk menilai kemajuan hubungan dua hala dan membincangkan pengukuhan pelaburan serta perdagangan antara kedua-dua negara.
  • Peranan Malaysia dalam BRICS Malaysia menyertai sidang kemuncak sebagai negara rakan BRICS dan Pengerusi ASEAN 2025, bersama 9 negara lain yang diterima sebagai rakan BRICS dalam usaha memperkukuh kerjasama Selatan Global.


Dalam catatan di akaun peribadinya di laman X, @narendramodi, Modi berkata beliau bertemu rakan sejawatannya dari Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim di luar Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-17 di Brazil.

Modi berkata mereka telah menilai kemajuan dalam hubungan dua hala termasuk perkembangan yang dicapai sejak lawatan Anwar ke India tahun lepas.

"Sektor berimpak tinggi seperti teknologi maklumat, tenaga boleh baharu dan infrastruktur menunjukkan pertumbuhan yang memberangsangkan dalam kerjasama antara Malaysia dan India.

"Kami turut membincangkan langkah-langkah untuk memperkukuh hubungan pelaburan dan perdagangan antara kedua-dua negara," katanya.

An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.


Modi mengumumkan Visi MAHASAGAR atau "Kemajuan Bersama dan Menyeluruh untuk Keselamatan dan Pertumbuhan Merentasi Rantau" bagi negara-negara Selatan Global semasa lawatannya ke Mauritius pada 12 Mac lepas.

Visi MAHASAGAR dibina berasaskan dasar SAGAR (Keselamatan dan Pertumbuhan untuk Semua di Rantau Ini) yang kali pertama diumumkan oleh Modi semasa lawatannya ke Mauritius pada 2015. Dasar SAGAR telah menjadi panduan kepada kerjasama India dengan rantau Lautan Hindi sepanjang dekad yang lepas.

Anwar tiba di Rio De Janeiro pada Sabtu untuk menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-17 yang dianjurkan oleh Brazil.

Malaysia menyertai sidang kemuncak tersebut dalam kapasiti sebagai negara rakan BRICS dan Pengerusi ASEAN 2025.

Sidang kemuncak itu merupakan perhimpunan pertama melibatkan ketua-ketua negara dan kerajaan daripada negara anggota dan rakan BRICS.

Perkumpulan BRICS yang berperanan sebagai forum penyelarasan politik dan diplomatik bagi negara-negara Selatan Global dengan kerjasama yang merentasi pelbagai sektor, pada asalnya ditubuhkan oleh Brazil, Rusia, India dan China.

Blok itu kemudiannya berkembang dengan penyertaan Afrika Selatan pada 2011 dan seterusnya Mesir, Ethiopia, Iran, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 2023.

Indonesia secara rasmi sebagai anggota penuh pada Januari 2025 manakala 10 negara yang terdiri daripada Malaysia, Belarus, Bolivia, Kazakhstan, Cuba, Nigeria, Thailand, Vietnam, Uganda dan Uzbekistan telah diterima sebagai negara rakan BRICS.

-- BERNAMA






#Perdana Menteri India #Narendra Modi #Anwar Ibrahim #Visi MAHASAGAR #Dasar Tindakan ke Timur India #BRICS