KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia dinasihatkan supaya mempertimbangkan untuk menangguhkan perjalanan yang tidak penting ke Perancis sehingga keadaan bertambah baik susulan demonstrasi yang sedang berlangsung di bandar-bandar utama di seluruh negara itu.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad, Kementerian Luar memaklumkan bahawa pihaknya sedang memantau rapat perkembangan situasi berkenaan dan setakat ini, tiada laporan diterima mengenai rakyat Malaysia yang terlibat atau terjejas.
Kedutaan Besar Malaysia di Paris telah mengeluarkan nasihat kepada rakyat Malaysia di Perancis supaya sentiasa berhati-hati dan berwaspada.
"Walaupun tiada sekatan perjalanan ke Perancis, rakyat Malaysia dinasihatkan supaya mempertimbangkan untuk menangguhkan perjalanan yang tidak penting sehingga keadaan bertambah baik," menurut Kementerian Luar.
Kementerian itu yang juga dikenali sebagai Wisma Putra memaklumkan bahawa pihak kedutaan terus berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan yang berkaitan bagi mendapatkan maklumat terkini dan memudah cara bantuan yang sewajarnya kepada rakyat Malaysia sekiranya diperlukan.
Wisma Putra turut menggesa rakyat Malaysia yang menetap di Perancis supaya memastikan pihak kedutaan mempunyai maklumat perhubungan terkini mereka.
Rakyat Malaysia yang masih belum berdaftar dengan kedutaan digalakkan berbuat demikian, manakala mereka yang merancang untuk ke Perancis turut digalakkan mendaftarkan butiran perjalanan melalui platform e-Konsular kementerian di https://ekonsular.kln.gov.my.
Bagi mendapatkan bantuan konsular segera atau dalam situasi kecemasan, rakyat Malaysia boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Paris menerusi talian +33 1 45 53 11 85, talian kecemasan selepas waktu pejabat di +33 6 32 44 65 71 atau e-mel [email protected].
-- BERNAMA