[TERKINI] Polis Tahan Pengasas eHati dan Suami Susulan Dakwaan Program Motivasi Rumah Tangga Songsang – Ikuti Perkembangan Di Sini
DUNIA

Malaysia sertai persidangan global tindakan Gaza di Colombia

Bernama 15/07/2025 | 03:15 MYT
Persidangan berkenaan disifatkan penganjur sebagai inisiatif pelbagai hala paling menyeluruh setakat ini dalam mendesak pematuhan Israel terhadap undang-undang antarabangsa dan menamatkan kekejaman di Gaza. - Gambar fail/ Reuters
KUALA LUMPUR: Malaysia menyertai lebih 30 negara dalam Persidangan Tergempar Bogota yang berlangsung di Colombia pada 15 dan 16 Julai, bertujuan menyelaras tindakan undang-undang dan diplomatik sebagai respons terhadap krisis kemanusiaan di Gaza.


Ringkasan AI
  • Malaysia menyertai lebih 30 negara dalam Persidangan Tergempar Bogota di Colombia bagi menyelaras tindakan undang-undang dan diplomatik sebagai respons terhadap krisis kemanusiaan di Gaza, dianjurkan di bawah Kumpulan The Hague.
  • Persidangan ini dianggap sebagai inisiatif pelbagai hala paling menyeluruh untuk mendesak pematuhan Israel terhadap undang-undang antarabangsa, dengan penekanan terhadap kebertanggungjawaban dan keadilan untuk rakyat Palestin.
  • Kumpulan The Hague berikrar melaksanakan tiga tindakan utama: mematuhi langkah sementara ICJ berkaitan Gaza, menghalang pemindahan senjata ke Israel, dan menyekat kapal bekalan ketenteraan daripada berlabuh di pelabuhan negara anggota.


Antara negara lain yang mengambil bahagian ialah Algeria, Brazil, China, Cuba, Honduras, Indonesia, Namibia, Qatar, Senegal, Afrika Selatan, Sepanyol serta negara tuan rumah, Colombia.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Sekretariat Kumpulan The Hague dan dikongsi bersama Bernama, persidangan itu merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh sokongan pelbagai hala terhadap prinsip kebertanggungjawaban dan keadilan untuk rakyat Palestin.

Dianjur bersama oleh Colombia dan Afrika Selatan di bawah kerangka Kumpulan The Hague, persidangan berkenaan disifatkan penganjur sebagai inisiatif pelbagai hala paling menyeluruh setakat ini dalam mendesak pematuhan Israel terhadap undang-undang antarabangsa dan menamatkan kekejaman di Gaza.

Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai wilayah Palestin yang diduduki, Francesca Albanese menyifatkan persidangan itu sebagai detik bersejarah dan titik perubahan penting.

"Persidangan Bogota akan dikenang sebagai saat negara-negara akhirnya bangkit melakukan perkara yang betul," katanya sambil menyifatkan penubuhan Kumpulan The Hague sebagai perkembangan politik paling signifikan dalam tempoh dua dekad ini.

Albanese dijadual menyampaikan ucapan pada sesi pembukaan Selasa, dengan menekankan kegagalan sistem antarabangsa dalam melindungi rakyat Palestin serta kesan buruk daripada penerapan undang-undang antarabangsa secara terpilih.

"Sudah terlalu lama undang-undang antarabangsa dianggap sebagai pilihan - digunakan terhadap yang lemah, dan diabaikan oleh yang berkuasa," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan menjelang persidangan itu.

Beliau turut dijangka mengulas mengenai sekatan yang dikenakan ke atasnya oleh Amerika Syarikat, serta menyifatkannya sebagai amaran kepada semua pembela keadilan antarabangsa.

Albanese dijangka menegaskan bahawa Piagam PBB dan instrumen hak asasi manusia sejagat perlu kekal sebagai kompas moral dan perundangan bersama masyarakat antarabangsa.

"Saya percaya lebih banyak negara akan menyelaraskan dasar mereka dengan prinsip-prinsip asas ini ketika kita melalui detik genting ini. Bersatu dalam tujuan, kita mampu menuntut semula keadilan dan dengan berganding bahu, kita pasti berjaya."

Sementara itu, Presiden Colombia Gustavo Petro berkata persidangan itu bertujuan "beralih daripada kecaman kepada tindakan kolektif," manakala Timbalan Menteri Luar negara itu, Mauricio Jaramillo Jassir memberi amaran bahawa genosid terhadap rakyat Palestin kini mengancam keseluruhan sistem pelbagai hala serta norma undang-undang antarabangsa.

Persidangan itu juga susulan daripada penubuhan Kumpulan The Hague pada awal tahun ini, yang dianggotai lapan negara pengasas iaitu Bolivia, Colombia, Cuba, Honduras, Malaysia, Namibia, Senegal dan Afrika Selatan.

Kumpulan terbabit berikrar untuk melaksanakan tiga tindakan utama: mematuhi langkah-langkah sementara Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berkaitan Gaza; menghalang pemindahan senjata kepada Israel yang boleh mendorong genosid; serta menyekat kapal membawa bekalan ketenteraan ke Israel daripada berlabuh di pelabuhan negara masing-masing.

Selain itu, persidangan turut menilai pelaksanaan pendapat nasihat ICJ 2024 serta Resolusi A/RES/ES-10/24 yang diluluskan Perhimpunan Agung PBB, yang menyeru negara anggota mengambil tindakan konkrit menjelang September 2025.

-- BERNAMA


#Malaysia #Gaza #Kumpulan The Hague #Bogota