SINGAPURA: Malaysia menggesa kerjasama serantau yang lebih kukuh dalam kalangan negara anggota ASEAN bagi menangani secara kolektif ancaman keselamatan siber yang semakin canggih berikutan kemajuan pesat kecerdasan buatan (AI), menurut Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA).
Ketua Pegawai Eksekutif NACSA Dr Megat Zuhairy Megat Tajuddin berkata tiada mana-mana negara yang mampu bergerak secara bersendirian dalam membina daya tahan dan memastikan ekosistem keselamatan sibernya dilindungi dalam landskap ancaman siber yang sentiasa berkembang.
Beliau percaya kerjasama yang lebih rapat dapat memastikan rantau ASEAN tidak menjadi permukaan serangan berpotensi atau sasaran menarik bagi penjenayah siber yang cuba mengambil kesempatan daripada sebarang kelemahan di rantau ini.
Meskipun AI berupaya meningkatkan produktiviti dan memudahkan kehidupan, Megat Zuhairy menegaskan bahawa kecanggihan ancaman yang timbul daripada kemajuannya yang pesat kini menjadi kebimbangan utama, dan negara-negara ASEAN perlu menumpukan perhatian kepada cara menguruskan ancaman berkenaan, kata beliau.
"Sebahagian besar daripada kami masih belum menemui penyelesaian yang jelas bagi masalah itu.
Saya fikir kita semua bersetuju dengan hakikat bahawa kita perlu bekerjasama dan mencari jalan penyelesaian secara bersama," katanya kepada Bernama di luar Minggu Keselamatan Siber Antarabangsa Singapura (SICW).
Dalam pada itu, Singapura telah mengumumkan komitmen tambahan sebanyak S$30 juta (S$1=RM3.19) bagi tempoh lima tahun untuk mengekalkan dan memperkukuh usaha pembangunan kapasiti peringkat antarabangsa serta serantau menerusi Pusat Kecemerlangan Keselamatan Siber ASEAN-Singapura (ASCCE).
Pengumuman itu dibuat semasa majlis perasmian Persidangan Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Keselamatan Siber (AMCC) ke-11 di SICW pada Rabu.
Megat Zuhairy berkata peruntukan tambahan itu akan melengkapi usaha perkongsian maklumat dan pembangunan kapasiti, yang merupakan antara teras utama Strategi Kerjasama Keselamatan Siber ASEAN 2026-2030 yang diterajui oleh Malaysia.
Ia juga selari dengan pelan tindakan Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer Serantau ASEAN (ASEAN CERT) serta kerjasama sedia ada bersama rakan dialog ASEAN seperti Jepun.
Beliau berkata di bawah pembiayaan tambahan itu, cadangan perluasan program pembangunan kapasiti menerusi ASCCE tidak sepatutnya tertumpu kepada pengetahuan teori semata-mata, sebaliknya memberi penekanan kepada penyelesaian pragmatik bagi mekanisme pertahanan siber terkini.
"Tumpuan utama perlu diberikan kepada pelaksanaan langkah-langkah praktikal bagi mencegah ancaman siber dan melindungi rantau ini secara keseluruhannya," kata beliau.
-- BERNAMA