[TERKINI] Ikuti pembentangan Bajet 2026 secara langsung – video tumpuan, undian anda serta analisis penuh di sini!
DUNIA

Malaysia tegaskan pelaksanaan penuh konsesus lima perkara ASEAN di Myanmar

Bernama 10/10/2025 | 03:40 MYT
Mohamad berkata, perkara itu disampaikan semasa kunjungan hormat beliau ke atas Perdana Menteri dan Menteri Perancangan Kebangsaan Suruhanjaya Keselamatan dan Keamanan Negara (SSPC) Myanmar, U Nyo Saw di Nay Pyi Taw. - Gambar fail Bernama
KUALA LUMPUR: Malaysia menegaskan kepentingan pelaksanaan penuh dan bermakna Konsensus Lima Perkara (5PC) ASEAN mengenai Myanmar, khususnya berkaitan penghentian keganasan, peningkatan bantuan kemanusiaan serta usaha ke arah dialog inklusif dengan semua pemegang taruh di Myanmar.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perkara itu disampaikan semasa kunjungan hormat beliau ke atas Perdana Menteri dan Menteri Perancangan Kebangsaan Suruhanjaya Keselamatan dan Keamanan Negara (SSPC) Myanmar, U Nyo Saw di Nay Pyi Taw.

"Perihal pilihan raya yang bakal diadakan di Myanmar turut dibincangkan," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

Mohamad berkata, lawatan kerja itu dibuat selaras dengan keputusan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 pada Julai 2025 dan dilaksanakan beliau di bawah kapasiti selaku Pengerusi ASEAN 2025.

Mohamad berlepas ke Myanmar pada Khamis bagi mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatnya dan pemimpin tertinggi negara itu.

Myanmar terjerumus dalam krisis politik dan kemanusiaan berpanjangan sejak tentera menggulingkan kerajaan Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) pada 1 Feb 2021.

Pada April tahun sama, pemimpin ASEAN mengadakan mesyuarat tergempar dan menerima pakai Konsensus Lima Perkara yang antara lain menyeru penghentian segera keganasan, penglibatan dalam dialog membina dengan semua pihak berkepentingan demi memulihkan keamanan dan kestabilan, serta membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan kepada rakyat Myanmar.

-- BERNAMA




#ASEAN #konsesus lima perkara #dialog inklusif #5PC ASEAN