KUALA LUMPUR: Malaysia hari ini menerima 500,000 dos vaksin Sinopharm sumbangan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata ia merupakan fasa pertama daripada keseluruhan sejuta vaksin Sinopharm yang bakal diterima bagi mempergiat usaha mendepani pandemik COVID-19.

Katanya, sumbangan itu adalah bukti kepada ikatan diplomatik antara Malaysia dan UAE yang telah lama terjalin dalam pelbagai aspek serta akan diperkukuh demi kepentingan rakyat kedua-dua negara.

"Alhamdulillah, kita sangat bersyukur pada hari ini dapat menyaksikan penyampaian secara rasmi sebanyak 500,000 dos Sinopharm yang merupakan sebahagian daripada satu juta dos yang disumbangkan kerajaan UAE kepada Malaysia. 

"Saya juga ingin berterima kasih kepada Putera Mahkota Abu Dhabi, Mohamed Zayed Al Nahyan yang telah menyampaikan sumbangan ini kepada kerajaan dan rakyat Malaysia, " katanya ketika sidang media Majlis Penyerahan Sumbangan Vaksin Sinopharm dari UAE, di sini, pada Selasa.

Sementara itu, Kuasa Usaha Sementara, Kedutaan Besar UAE, Nouf Ibrahim Ali Rashed AlKuwaiti berkata sumbangan itu akan diberikan secara berperingkat di Malaysia.

"Sumbangan ini akan melalui dua fasa. Fasa pertama telahpun diberikan kepada rakyat Malaysia manakala, baki 500,000 lagi adalah pada fasa kedua yang akan dihantar dalam tempoh dua minggu lagi," katanya. 

Pada Mac 2020, UAE menghulurkan bantuan COVID-19 kepada Malaysia dengan menyumbangan 20,000 unit kit ujian RT PCR.

Pada Mei 2020 pula, UAE menyumbang 14,000 unit cecair sanitasi tangan melalui inisiatif Wisma Putra, Malaysia’s Diplomatic Equipment Stockpile (MDES), untuk diagihkan kepada petugas barisan hadapan COVID-19 Wisma Putra di dalam negara serta di perwakilan Malaysia di luar negara.