[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
DUNIA

Malaysia, Timor-Leste jalin kerjasama pengajian tinggi, pacu pendidikan serantau

Astro Awani 12/06/2025 | 07:40 MYT
Dr Zambry berkata MoU Kerjasama Pendidikan Malaysia dan Timor-Leste merupakan cerminan komitmen negara sebagai pengerusi ASEAN untuk menyumbang kepada pembangunan pendidikan tinggi. -Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Jemaah Menteri bersetuju untuk memuktamadkan perjanjian persefahaman (MoU) kerjasama berkaitan pendidikan tinggi Malaysia dengan Timor-Leste.

Ringkasan AI
  • Jemaah Menteri bersetuju memuktamadkan MoU kerjasama pendidikan tinggi antara Malaysia dan Timor-Leste, sebagai langkah memperkukuh pembangunan pendidikan serantau di bawah kepimpinan Malaysia selaku pengerusi ASEAN.
  • Malaysia turut membangunkan portal biasiswa *ASEAN-GEMS* di bawah Intra-ASEAN Scholarship Programme (IASP) untuk menyediakan akses pembiayaan pengajian tinggi kepada pelajar ASEAN, dengan pelancaran rasmi dijadualkan pada 19 Jun 2025 di Langkawi.
  • Malaysia terus menjadi peneraju pendidikan tinggi ASEAN, dengan tujuh daripada sepuluh universiti terbaik di rantau ini berasal dari Malaysia, dan akan membentangkan ASEAN Leaders Declaration on Higher Education sebagai kesinambungan kepada Deklarasi Kuala Lumpur 2015, selaras dengan ASEAN Community Vision 2045.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, langkah ini merupakan cerminan komitmen Malaysia sebagai pengerusi ASEAN untuk menyumbang kepada pembangunan pendidikan tinggi di rantau Asia Tenggara.
“Hari ini (Rabu), kabinet telah bersetuju supaya MoU dengan Timor-Leste dimuktamadkan.
"Ini merupakan satu lembaran baharu kerjasama Malaysia dan Timor Leste dalam membantu Timor-Leste membangunkan sektor pendidikan tinggi di negara mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Rabu.
MoU Kerjasama Pendidikan Tinggi Malaysia-Timor-Leste akan dimeterai, komitmen negara pacu pendidikan serantau – Dr. Zambry
Selain itu, Dr Zambry turut memaklumkan mengenai penubuhan ASEAN Global Exchange for Mobility and Scholarship (ASEAN GEMS) yang dibangunkan oleh Malaysia di bawah Intra ASEAN Scholarship Program (IASP) iaitu sebuah portal pembiayaan pengajian tinggi kepada belia-belia ASEAN yang berkelayakan.
“ASEAN-GEMS dibangunkan bagi membolehkan akses biasiswa kepada pelajar-pelajar ASEAN agar mereka boleh belajar di universiti-universiti di negara ASEAN.
"Kita dapat capai hasrat itu melalui inisiatif Intra-ASEAN Scholarship Programme (IASP),” ujarnya.
ASEAN-GEMS adalah sebuah portal biasiswa yang berperanan sebagai koordinator biasiswa dan mobiliti kepada penyedia biasiswa, institusi pendidikan tinggi dan pihak kerajaan yang dibangunkan oleh Education Malaysia Global Services (EMGS) dengan sokongan negara anggota ASEAN.
Portal ini dijangkakan akan diluncurkan secara rasmi di peringkat ASEAN semasa Persidangan Meja Bulat Menteri Pendidikan Tinggi ASEAN di Langkawi pada 19 Jun akan datang.
Sehingga kini ASEAN-GEMS telah berjaya mengumpul sebanyak 300 penawar biasiswa peringkat ASEAN dengan nilai biasiswa sebanyak RM18 juta.
Menurut Dr Zambry, peranan Malaysia sebagai peneraju sektor pendidikan bersandarkan kepada kepercayaan negara-negara anggota terhadap sistem pendidikan tinggi negara.
“Dari segi kedudukan carta universiti di Asia Tenggara, sukacita saya sebutkan daripada 10 universiti-universiti terbaik di dunia yang ada di rantau ini, tujuh ialah universiti dari Malaysia, dua dari Singapura, dan satu dari Thailand.
“Dengan adanya penarafan yang tinggi kepada Malaysia, mereka (negara-negara anggota ASEAN) mengharapkan supaya kerjasama sedia ada diperhebat dengan universiti-universiti tempatan kita.
"Mereka mahu supaya Malaysia menjuarai isu-isu penting pendidikan tinggi,” jelas Dr Zambry.
Tambahnya, Malaysia secara konsisten menjadi peneraju kepada inisiatif pendidikan ASEAN. Malah, kemuncak kepada penekanan sektor pendidikan tinggi di ASEAN termeterai semasa kepengerusian ASEAN-Malaysia pada 2015, melalui Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Pendidikan Tinggi.
Ia merupakan deklarasi pertama seumpamanya, lanjutan daripada inisiatif-inisiatif lebih awal mengenai pendidikan di peringkat ASEAN, termasuk penubuhan Jaringan Universiti ASEAN (AUN) pada 1992 dan Jawatankuasa ASEAN mengenai Pendidikan (ASCOE) pada 1997.
Sempena penganjuran Persidangan Meja Bulat Menteri Pendidikan Tinggi ASEAN yang akan diadakan pada 19 Jun 2025 di Langkawi, Malaysia akan membentangkan sebuah dokumen hasil baharu iaitu ASEAN Leaders’ Declaration on Higher Education: Towards an Inclusive, Sustainable and Properous ASEAN sebagai kesinambungan kepada Kuala Lumpur Declaration on Higher Education (2015) selaras dengan matlamat ASEAN Community Vision 2045 yang telah diluncurkan baru-baru ini.
[LANGSUNG] #AgendaAWANI | Mendepani Cabaran Pendidikan Tinggi Masa Hadapan | 11 Jun 2025
#Agenda Awani #ASEAN #Zambry Abd Kadir #pendidikan #MoU