[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
DUNIA

Malaysia tuntut keselamatan Global Sumud Flotilla terjamin – Wisma Putra

Firdaus Azil 24/09/2025 | 12:45 MYT
Malaysia menuntut segala ancaman keganasan dihentikan serta-merta, dan laluan tanpa halangan bagi kapal flotilla tersebut dijamin selamat. - Gambar Reuters/Giorgos Solaris
KUALA LUMPUR: Malaysia dengan tegas mengecam tindakan terkini Rejim Zionis Israel yang mengancam keselamatan misi Global Sumud Flotilla (GSF) pada 23 September lepas.

Dalam satu kenyataan pada Rabu, Kementerian Luar berkata, Malaysia menuntut agar segala ancaman keganasan itu dihentikan serta-merta, dan laluan tanpa halangan bagi para peserta dan kapal flotilla tersebut dijamin selamat.

“Malaysia menegaskan bahawa Global Sumud Flotilla, sebuah misi kemanusiaan aman untuk menyampaikan bantuan segera ke Gaza, adalah sah di sisi undang-undang serta amat penting memandangkan berlakunya genosid dan kebuluran berterusan di Wilayah Palestin.

“Sehingga kini, seramai 34 peserta Malaysia dalam flotilla tersebut dilaporkan berada dalam keadaan selamat. Malaysia berdiri teguh bersama Palestin, dan sekali lagi menegaskan gesaan bagi menamatkan segera genosid serta sekatan haram ke atas Gaza,” jelas kenyataan itu.

Baru-baru ini media melaporkan, misi kemanusiaan GSF berdepan cubaan intimidasi apabila lebih 15 dron dilaporkan berlegar rendah di atas bot Alma serta beberapa kapal pengiring di Laut Mediterranean.

Menurut Laporan Situasi (SITREP) yang dikeluarkan Sumud Nusantara Command Center – MAPIM Central pada jam 6.15 pagi tadi, insiden itu berlaku ketika flotilla berada di zon kelabu perairan Greece, kira-kira 750 batu nautika dari Gaza.

Laporan sama turut memaklumkan bahawa sebanyak 15 dron rejim berlegar rendah setiap 10 minit, dipercayai bertujuan melakukan intimidasi dan risikan.

“Terdapat lapan letupan udara berhampiran kapal kami serta kapal-kapal lain di sekeliling. Namun begitu, kesemua 34 delegasi Malaysia kekal selamat dan berada dalam keadaan bersiap-siaga penuh,” menurut kenyataan tersebut.

Pihak sekretariat percaya, gangguan oleh dron-dron berkenaan bertujuan mengumpul maklumat risikan serta menakutkan pasukan flotilla.

Setakat ini, lebih 500 sukarelawan GSF dari 45 negara, termasuk 34 delegasi dari Malaysia, menaiki 53 buah kapal bersama tiga kapal pemerhati menuju ke Semenanjung Gaza bagi menghantar bantuan makanan dan keperluan asas.



#Global Sumud Flotilla #rejim Zionis #Kementerian Luar #Israel