DUNIA

Malaysia umum pencalonan untuk pemilihan semula dalam Majlis ITU

Bernama 09/07/2025 | 14:30 MYT
Fahmi menekankan penglibatan aktif berterusan Malaysia dalam ITU termasuk komitmen Partner2Connect untuk mempengerusikan Kumpulan Kajian ITU dan menganjurkan program pembinaan kapasiti. - Gambar Bernama
GENEVA (Switzerland): Malaysia secara rasmi mengumumkan pencalonan untuk pemilihan semula sebagai ahli Majlis Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) bagi penggal 2027-2030.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil membuat pengumuman itu semasa sesi ucapan pemimpin pada Sidang Kemuncak Dunia mengenai Acara Peringkat Tinggi Masyarakat Bermaklumat+20 (WSIS+20) di sini pada Rabu.

Fahmi menekankan penglibatan aktif berterusan Malaysia dalam ITU termasuk komitmen Partner2Connect untuk mempengerusikan Kumpulan Kajian ITU dan menganjurkan program pembinaan kapasiti.

"Sehubungan dengan itu, kami memohon untuk dipilih semula ke dalam Majlis ITU bagi penggal 2027-2030. Matlamat kami adalah jelas, iaitu untuk membantu membina sebuah masyarakat global yang lebih berhubung, bermaklumat dan inklusif.

"Kami mengulangi komitmen penuh untuk bekerjasama dengan semua rakan dalam meningkatkan keterangkuman digital, memperkukuh daya tahan dan memastikan tiada sesiapa yang tercicir dalam era digital ini," katanya.

Malaysia kini merupakan Ahli Majlis ITU bagi penggal 2023-2026, yang membolehkan negara mengambil bahagian dalam merangka hala tuju dasar strategik ITU dan mewakili kepentingan rantau Asia dalam memajukan infrastruktur telekomunikasi dan digital.

ITU ialah agensi khusus Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam bidang telekomunikasi dan teknologi digital yang bertanggungjawab memperuntukkan spektrum frekuensi radio, membangunkan piawaian antarabangsa untuk memastikan kebolehoperasian rangkaian komunikasi dan berperanan merapatkan jurang digital di seluruh dunia.

-- BERNAMA



#Majlis ITU #piwaian antarabangsa #rangkaian komunikasi #jurang digital