DUNIA

Malaysia-India kukuhkan hubungan dua hala dengan pemeteraian 11 dokumen kerjasama utama

Firdaus Azil 08/02/2026 | 03:45 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) mengadakan mesyuarat Narendra Modi di Kompleks Sri Perdana, hari ini. - Gambar/ Bernama
PUTRAJAYA: Malaysia dan India pada Ahad, telah menandatangani serta bertukar 11 dokumen kerjasama utama merentasi pelbagai sektor strategik, sekali gus menandakan pengukuhan hubungan di bawah rangka Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP).

Pemeteraian dokumen tersebut, disaksikan Perdana Menteri India Narendra Modi dan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kompleks Seri Perdana, bersempena dengan lawatan rasmi pemimpin tersebut ke negara ini yang bermula Sabtu.

Antara dokumen dimeterai termasuk kenyataan bersama mengenai lawatan rasmi Modi serta Perjanjian Produksi Bersama Audio Visual yang membuka lebih banyak peluang dalam industri kreatif kedua-dua negara.

Kerjasama dalam aspek kemanusiaan dan keselamatan juga dipertingkat melalui perjanjian persefahaman (MoU) Pengurusan Bencana.

Selain itu, kedua-dua pemimppin turut menyaksikan MoU Membanteras dan Mencegah Rasuah, manakala peranan Malaysia dan India dalam misi antarabangsa diperkukuh melalui Exchange of Letters berhubung kerjasama Pengaman Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Dalam sektor teknologi berimpak tinggi, kedua-dua negara turut bertukar dokumen mengenai kerjasama semikonduktor, mencerminkan usaha bersama membangunkan rantaian bekalan cip global yang lebih kukuh di rantau ini.

Turut diserahkan ialah Perjanjian Rangka Kerja International Big Cats Alliance (IBCA), menandakan komitmen kepada usaha pemuliharaan global.

Sementara itu, aspek sosial dan tenaga kerja diperkaya melalui MoC antara PERKESO dan Employees’ State Insurance Corporation (ESIC) India, diikuti kerjasama latihan kemahiran melalui Exchange of Notes dalam TVET.

Dua dokumen tambahan menyentuh kerjasama keselamatan serta sektor kesihatan, melengkapkan skop perkongsian yang lebih meluas. Pertukaran terakhir melibatkan penyerahan Joint Statement Forum CEO Malaysia-India ke-10 oleh wakil industri kedua-dua negara.

Kerjasama ini hadir pada ketika hubungan ekonomi Malaysia-India berada pada tahap kukuh, dengan jumlah dagangan mencecah RM79.49 bilion (USD18.59 bilion) pada tahun 2025, menjadikan India rakan dagang terbesar Malaysia di Asia Selatan.

Eksport Malaysia ke India bernilai RM52.3 bilion, didominasi oleh minyak sawit dan produk elektrik dan elektronik, manakala import pula berjumlah RM27.19 bilion, terutama produk pertanian, petroleum dan kimia.

Angka ini mencerminkan ekonomi kedua-dua negara yang saling melengkapi, serta potensi besar untuk peluasan kerjasama masa depan.

Dengan pemeteraian 11 dokumen ini, Malaysia dan India memberi isyarat untuk mewujudkan kerjasama yang lebih mendalam, meliputi bidang tradisional seperti perdagangan dan keselamatan, serta sektor baharu seperti teknologi tinggi, tenaga kerja, TVET, dan pemuliharaan.

Pemerhati geopolitik menyifatkan keseluruhan pakej kerjasama tersebut menjadikan lawatan Modi sebagai salah satu yang paling signifikan dalam sejarah hubungan Malaysia-India moden.





#Malaysia #India #Narendra Modi #Lawatan kerja rasmi