Terkini: Kes Pelajar Jatuh dari Asrama di Sabak Bernam – Ikuti perkembangan di sini
DUNIA

Mangsa maut akibat Taufan Kajiki di Vietnam meningkat kepada 7 orang

Bernama 27/08/2025 | 11:12 MYT
Taufan Kajiki dan banjir di Vietnam menyebabkan tujuh kematian, seorang hilang, dan 34 cedera. -Gambar fail/Reuters
HANOI: Angka kematian akibat Taufan Kajiki dan banjir yang berlaku di Vietnam meningkat kepada tujuh orang, dengan seorang lagi masih hilang dan 34 orang cedera, lapor Xinhua, memetik Agensi Berita Vietnam.


Ringkasan AI
  • Taufan Kajiki dan banjir di Vietnam menyebabkan tujuh kematian, seorang hilang, dan 34 cedera.
  • Lebih 8,700 rumah rosak, 81,500 hektar sawah tenggelam, serta 2,000 ternakan mati akibat bencana tersebut.
  • Perdana Menteri Vietnam arah pemulihan segera infrastruktur asas dan bantuan kepada komuniti terjejas menjelang tahun persekolahan baharu.


Memetik data Kementerian Pertanian dan Alam Sekitar, laporan itu menyatakan 15 rumah musnah dan lebih 8,700 yang lain rosak, termasuk 63 sekolah dan lapan kemudahan perubatan, manakala lebih 81,500 hektar sawah tenggelam dan kira-kira 2,000 ternakan serta ayam dan itik mati.

Perdana Menteri Pham Minh Chinh mengarahkan pihak berkuasa tempatan untuk segera memulihkan perkhidmatan bekalan elektrik, telekomunikasi, pengangkutan, sekolah dan penjagaan kesihatan, di samping menghantar bekalan bantuan dan membaiki rumah yang rosak untuk membantu menstabilkan komuniti yang terjejas menjelang tahun persekolahan baharu, menurut laporan itu.

Taufan Kajiki, ribut kelima tahun ini di Vietnam, melanda awal minggu ini, membadai beberapa wilayah utara dan tengah dengan hujan lebat dan angin kencang.

-- BERNAMA

#taufan kajiki #banjir di Vietnam #pemulihan infrastruktur #korban meningkat