ISTANBUL: Seorang mangsa tikaman dan suspek dalam insiden di Times Square, New York City, masing-masing maut, manakala seorang lagi mangsa masih dirawat di hospital dan dilaporkan dalam keadaan stabil, menurut pihak berkuasa pada Isnin, lapor Anadolu Ajansi.
Polis New York mengenal pasti suspek sebagai Pamela Cisneros, 49, dari Queens, yang kemudian ditembak selepas berdepan dengan anggota ekoran kejadian tikaman terhadap dua individu di West 42nd Street dan Seventh Avenue.
Sumber polis pada awalnya berkata wanita itu yang dipercayai mengalami gangguan emosi, mengancam orang ramai dengan dua bilah pisau, menurut ABC News.
Polis berkata wanita itu menikam dua individu, masing-masing seorang lelaki dan wanita, sebelum anggota tiba di lokasi.
Suspek kemudian melarikan diri ke arah utara menuju sebuah pos polis sebelum berdepan dengan anggota, menurut polis.
Pesuruhjaya Jabatan Polis New York (NYPD) Jessica Tisch berkata anggota polis cuba berunding dengan Cisneros selama kira-kira empat minit dan berulang kali mengarahkannya meletakkan pisau, namun wanita itu enggan berbuat demikian.
Menurut Tisch, Cisneros memberitahu anggota polis: “Saya tidak akan meletakkan apa-apa. Saya lebih rela membunuh kamu berdua.”
Tisch berkata wanita itu kemudian mengacukan pisau dan mara ke arah anggota polis.
Beberapa anggota menggunakan pistol renjatan Taser, namun tidak berkesan, sebelum dua anggota melepaskan tembakan dan mengenai Cisneros.
Menurut Tisch, kejadian tembakan itu dirakam kamera badan anggota polis.
Cisneros dibawa ke Hospital Bellevue sebelum disahkan meninggal dunia.
Tisch berkata wanita itu mempunyai rekod berkaitan masalah kesihatan mental termasuk insiden pada 2018 dan 2019, namun tidak pernah mempunyai rekod tangkapan.
Datuk Bandar New York City Zohran Mamdani berkata mangsa tikaman dan suspek dibawa ke Hospital Bellevue, dengan seorang daripada mangsa berada dalam keadaan stabil.
“Dengan penuh dukacita saya ingin melaporkan bahawa seorang daripada mangsa telah meninggal dunia, begitu juga suspek,” katanya.
Beliau berkata siasatan dalaman akan dijalankan mengikut prosedur biasa, manakala rakaman kamera badan akan didedahkan kepada orang ramai.
-- BERNAMA-ANADOLU