Marianne Williamson umum jadi calon untuk pemilihan Presiden AS 2024

Bernama
Mac 5, 2023 04:30 MYT
Williamson merupakan ahli Demokrat pertama yang mengumumkan secara rasmi bidaan untuk pencalonan 2024. - Foto AP
NEW YORK: Pengarang Marianne Williamson secara rasmi mengumumkan hasratnya untuk menjadi calon bagi merebut jawatan presiden Amerika Syarikat (AS) pada pemilihan 2024, lapor Agensi Anadolu.
Ahli Demokrat progresif itu yang sebelum ini pernah bertanding pada 2020 telah melancarkan kempennya di sebuah acara di Union Station di Washington DC.
"Saya kini secara rasmi menjadi calon untuk Presiden Amerika Syarikat.
"Saya rasa selama 40 tahun berada dekat dengan beribu-ribu individu memberi saya perspektif unik tentang apa yang diperlukan untuk membantu memulihkan Amerika.
"Kita memerlukan politik yang bukan sahaja merawat gejala tetapi puncanya...," kata pengarang berusia 70 tahun itu.
Williamson merupakan ahli Demokrat pertama yang mengumumkan secara rasmi bidaan untuk pencalonan 2024 dan berkemungkinan mencabar Presiden Joe Biden yang juga berhasrat untuk bertanding tetapi masih belum membuat pengumuman rasmi.
-- BERNAMA
#Marianne Williamson #presiden #Amerika Syarikat #Demokrat