LAKE SALDA: Ketika NASA menjelajah permukaan Marikh, para saintis mencari tanda-tanda hidupan lampau menggunakan data yang dikumpulkan dalam kajian di sebuah tasik di barat daya Turki.

NASA memaklumkan mineral dan batu ditemui di Tasik Salda adalah paling dekat dengan yang dijumpai sekitar Jezero Crater di mana kapal angkasa Perseverance mendarat.

Maklumat yang dikumpulkan dari Tasik Salda dapat membantu para saintis mencari jejak fosil kehidupan mikro yang disimpan dalam sedimen yang mungkin tersimpan di sekitar delta dan tasik yang sudah lama lenyap.

"Salda akan berfungsi sebagai analog di mana kita dapat belajar dan mengkaji," kata Thomas Zurbuchen, penyelaras sains NASA, kepada Reuters.

Sepasukan saintis Amerika Syarikat (AS) dan Turki melakukan penyelidikan pada tahun 2019 di pinggir tasik berkenaan, yang dikenali sebagai Maldives Turki kerana airnya yang biru dan pantai yang putih.

Tasik Salda di Turki.
Para saintis percaya sedimen di sekitar tasik itu terhakis daripada longgokan besar yang terbentuk oleh microbialite.

Pasukan di sebalik Perseverance Rover, makmal astrobiologi paling maju yang pernah diterbangkan ke angkasa, bertekad mahu mengkaji sama ada terdapat hidupan mikro di Jezero Crater.

Mereka juga akan membandingkan sedimen pantai Tasik Salda dengan mineral karbonat yang terbentuk daripada karbon dioksida dan air, yang dikesan di pinggir Jezero Crater.

Sedimen pantai di Tasik Salda akan dibandingkan dengan mineral karbonat yang terbentuk dari karbon dioksida dan air, yang dikesan di pinggir Jezero Crater.

"Apabila kita menjumpai sesuatu melalui Perseverance, kita boleh kembali ke Tasik Salda untuk melihat kedua-dua proses, (melihat) persamaan dan perbezaan dengan apa yang ditemui oleh Perseverance," kata Zurbuchen.

Sampel batu yang digerudi dari tanah Marikh perlu disimpan di permukaan sebelum diambil dan dihantar ke Bumi oleh dua misi akan datang, yang dijangka bermula pada tahun 2031.



** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !