DUNIA

Mark Carney jangka pentadbiran Amerika hormati kedaulatan Kanada

Agensi 30/01/2026 | 01:00 MYT
Carney menjangkakan pentadbiran Amerika Syarikat (AS) akan terus menghormati kedaulatan Kanada, susulan laporan bahawa pegawai AS dilaporkan mengadakan pertemuan dengan kumpulan pemisah Alberta. - Gambar Reuters
OTTAWA: Perdana Menteri Kanada, Mark Carney, menjangkakan pentadbiran Amerika Syarikat (AS) akan terus menghormati kedaulatan Kanada, susulan laporan bahawa pegawai AS dilaporkan mengadakan pertemuan dengan kumpulan pemisah Alberta.

Laporan Financial Times mendakwa, pegawai Jabatan Negara AS telah mengadakan tiga pertemuan dengan Alberta Prosperity Project (APP), sebuah kumpulan yang mendesak referendum pemisahan bagi menjadikan wilayah pengeluar tenaga itu bebas daripada Kanada.

Carney, ketika sidang media pada Khamis menegaskan, mesej beliau kepada Presiden AS Donald Trump sentiasa konsisten.

“Kami menjangkakan pentadbiran AS menghormati kedaulatan Kanada. Dan saya sentiasa jelas dalam perbualan saya dengan Presiden Trump mengenai perkara ini,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa Trump tidak pernah membangkitkan isu pemisahan Alberta dalam mana-mana pertemuan mereka.

APP sebelum ini mendakwa dasar Ottawa mengekang pembangunan Alberta, dan kini merancang mengadakan satu lagi pertemuan dengan pegawai Jabatan Negara dan Perbendaharaan AS untuk memohon kemudahan kredit bernilai AS$500 bilion.

Perdana Menteri Alberta, Danielle Smith, bagaimanapun menegaskan, beliau mahu Alberta kekal dalam Kanada.

Namun beliau mengakui, kira-kira 30 peratus rakyat di wilayah itu semakin kecewa dengan apa yang dianggap campur tangan berlebihan kerajaan Persekutuan.

Smith turut menekan keperluan pembinaan saluran paip baharu ke pantai Pasifik, yang memerlukan laluan melalui British Columbia — namun ditolak tegas oleh Premier BC, David Eby.

Eby menyifatkan tindakan mendapatkan bantuan negara asing untuk memecah-belahkan Kanada sebagai satu bentuk “pengkhianatan.”

Dalam temu bual radio minggu lalu, Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent, dilaporkan berkata, Amerika Syarikat seharusnya “membenarkan” Alberta menyertai AS sekiranya rakyatnya mahu.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan referendum, Bessent berkata: “Rakyat mahukan kedaulatan. Mereka mahukan apa yang dimiliki AS.”

Carney dan Trump dalam beberapa minggu kebelakangan ini sering saling mengkritik secara terbuka.

Walaupun Carney menyifatkan Trump sebagai “seorang perunding yang mahir”, beliau percaya beberapa kenyataan Trump kebelakangan ini mungkin berkait dengan penilaian semula Perjanjian Perdagangan AS-Mexico-Kanada (USMCA) yang dijadual tahun ini. - Agensi


#Kanada-AS #mark carney #Donald Trump #kedaulatan Kanada