Terkini: Kes Pelajar Jatuh dari Asrama di Sabak Bernam – Ikuti perkembangan di sini
DUNIA

Mark Ruffalo desak Trump, pemimpin Eropah segera henti serangan, kebuluran di Gaza

Astro Awani 27/08/2025 | 08:13 MYT
Ruffalo (foto) mendesak pemimpin dunia termasuk Donald Trump agar bertindak segera menghentikan kebuluran dan penindasan di Gaza, yang disifatkannya sebagai jenayah buatan manusia. -Gambar fail/Facebook
PELAKON dan aktivis Hollywood, Mark Ruffalo, sekali lagi tampil menyuarakan sokongan terhadap rakyat Palestin dengan mendesak Presiden Amerika Syarikat Donald Trump serta pemimpin Eropah agar mengambil tindakan segera berhubung krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di Gaza.


Ringkasan AI
  • Mark Ruffalo mendesak pemimpin dunia termasuk Donald Trump agar bertindak segera menghentikan kebuluran dan penindasan di Gaza, yang disifatkannya sebagai jenayah buatan manusia.
  • Beliau menyelar tindakan Israel dan IDF yang didakwa menyebabkan kebuluran melibatkan lebih setengah juta penduduk, serta menggunakan peluru berpandu bernama selebriti sebagai intimidasi.
  • Ruffalo dan Billie Eilish menunjukkan solidariti terhadap Gaza melalui simbol Artists4Ceasefire dan menyeru dunia agar tidak berdiam diri terhadap krisis kemanusiaan.


Dalam satu video yang dimuat naik ke Instagram pada 25 Ogos, Ruffalo menyifatkan kebuluran yang melanda Gaza sebagai bukan bencana alam, tetapi jenayah buatan manusia yang didalangi oleh Israel dan Pasukan Pertahanan Israel (IDF).

Beliau merujuk kepada laporan rasmi daripada Integrated Food Security Phase Classification (IPC) yang mengisytiharkan kebuluran di Gaza City dan kawasan sekitarnya, melibatkan lebih setengah juta penduduk yang kini berdepan kelaparan, kemiskinan ekstrem dan kematian.

“Jangan biarkan Gaza mati kelaparan. Ini bukan kemarau. Ini adalah tindakan jenayah untuk membunuh orang awam,” kata Ruffalo dalam video tersebut sambil menyeru dunia agar bersuara dan bertindak.


Beliau turut menyatakan bahawa lebih 80 peratus mangsa yang terkorban dalam konflik ini adalah orang awam, termasuk kanak-kanak.

Ruffalo secara terbuka menamakan pemimpin dunia dalam seruannya.

“Presiden Trump, lakukan sesuatu! Jerman, lakukan sesuatu! Eropah, lakukan sesuatu! UK, lakukan sesuatu!”

Beliau menegaskan bahawa dunia yang diam adalah satu bentuk persekongkolan, dan menyeru agar kebuluran serta pembunuhan dihentikan segera.

Dalam hantaran sama, Ruffalo turut menyelar tindakan Israel yang didakwa menggunakan peluru berpandu dengan nama beliau dan penyanyi Billie Eilish sebagai bentuk intimidasi terhadap selebriti yang menyokong Palestin.

Eilish sebelum ini turut menyuarakan kebimbangan terhadap pelan pemindahan penduduk Palestin oleh Israel, yang disifatkannya sebagai mengerikan.

Kedua-dua selebriti itu juga dilihat memakai pin merah Artists4Ceasefire di Anugerah Oscar sebagai simbol solidariti terhadap Gaza.

Krisis kemanusiaan di Gaza terus mendapat perhatian global, namun Ruffalo menegaskan bahawa tindakan nyata daripada pemimpin dunia adalah amat diperlukan bagi menghentikan kebuluran, penindasan dan kemusnahan yang sedang berlaku.














#Donald Trump #Mark Ruffalo #tentera Israel #hentikan kebuluran dan penindasan #Gaza #Billie Eilish